Perancangan perlu diterjemahkan kepada tindakan berkesan, menghasilkan perubahan nyata

11 Og 2026 - 9:10am

Oleh : Rohani Haji Abdul hamid

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. - Wawasan Brunei 2035 bukan sahaja sebagai satu sasaran pembangunan, tetapi sebagai satu perjalanan yang memerlukan kesepaduan daripada pelbagai aspek.

Pencapaian Wawasan Brunei 2035 tidak hanya memadai dengan mempunyai dasar yang baik, perancangan yang tersusun serta peruntukan kewangan yang mencukupi. Ia juga bergantung kepada keupayaan untuk membangunkan sumber manusia yang berilmu dan berkemahiran, memperkukuhkan institusi yang cekap dan berkesan, membina ekonomi yang produktif serta memastikan budaya kerja yang berteraskan integriti dan amanah.

Perkara berkenaan dijelaskan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub, juga Penghulu Mukim Ukong, Daerah Tutong semasa menyampaikan Perbahasan Usul pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Menurut Yang Berhormat, sesemua elemen ini saling melengkapi dan tidak boleh dilihat secara berasingan. Wawasan, modal insan, tatakelola dan etika dalam pelaksanaan perlu bergerak seiring sebagai satu ekosistem pembangunan negara kerana pada akhirnya, kejayaan sesuatu wawasan tidak diukur hanya melalui apa yang telah dirancang atau berapa banyak program yang telah dilaksanakan.

"Yang lebih penting ialah sejauh mana perancangan tersebut diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan, menghasilkan perubahan yang nyata dan akhirnya membawa manfaat yang dapat dilihat, dirasai dan dinikmati oleh rakyat.

"Bagi memastikan beberapa perkara penting dalam usaha menuju Wawasan Brunei 2035 dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan memberi impak nyata kepada rakyat, khususnya dalam pembangunan tenaga kerja.

"Pada hemat kaola, kita perlu beralih daripada sekadar mengukur output seperti jumlah pekerjaan, latihan dan pelaburan kepada ‘outcome’, iaitu sejauh mana usaha tersebut benar-benar meningkatkan kemahiran produktiviti, peluang kerjaya dan kerjasama rakyat seiring dengan perubahan dunia pekerjaan melalui AI, automasi dan digitalisasi," kata Yang Berhormat.

Yang Berhormat juga menyokong pengukuhan ‘reskilling’ dan ‘upskilling’ sebagai sebahagian daripada budaya pembelajaran sepanjang hayat, selaras dengan Manpower Blueprint yang menekankan pembangunan kompetensi dan kemahiran secara berterusan. Peningkatan akses kepada pembelajaran, penggunaan teknologi dalam pembangunan modal insan serta penyelarasan antara pendidikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), institusi latihan dan keperluan industri.

Yang Berhormat menjelaskan bahawa cadangan bagi mempertimbangkan Pelan Peralihan Kemahiran Nasional yang menyatukan laluan pendidikan, TVET, pengajian tinggi, latihan industri, ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ dengan keperluan majikan serta pekerjaan masa hadapan, supaya tenaga kerja bukan sahaja bersedia untuk pekerjaan hari ini, tetapi mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pekerjaan dan keperluan ekonomi sehingga tahun 2035 dan seterusnya.

Seterusnya Yang Berhormat menambah, bagi menyokong usaha kerajaan menarik pelaburan berkualiti ianya bukan sahaja pelaburan tersebut dan bukan sekadar membawa modal, tetapi membawa teknologi, kepakaran, inovasi, pekerjaan berkemahiran tinggi, latihan, pemindahan ilmu serta peluang kepada syarikat tempatan untuk berkembang agar pelaburan hari ini dapat membina kapasiti dan daya saing negara untuk masa hadapan.

Pendekatan ini ujar Yang Berhormat selaras dengan Economic Blueprint yang menggariskan kepentingan pelaburan berkualiti dan peningkatan produktiviti bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan berdaya tahan, di samping mempelbagaikan ekonomi dan menyediakan lebih banyak pekerjaan yang berkualiti. Malah, aspirasi Blueprint terhadap rakyat yang mahir, adaptif dan inovatif serta perniagaan yang produktif dan pesat menunjukkan bahawa pelaburan hendaklah turut berperanan dalam membangunkan bakat tempatan, memperkukuhkan ekosistem perniagaan dan meningkatkan keupayaan syarikat tempatan untuk bersaing.

"Dengan demikian, kita tidak hanya melihat pelaburan dari segi berapa besar modal yang masuk, tetapi juga berapa besar nilai yang tinggal dan berkembang dalam negara melalui pekerjaan berkualiti, peningkatan kemahiran, pemindahan teknologi, pertumbuhan syarikat tempatan dan peningkatan produktiviti.

"Inilah yang pada hemat kaola akan menjadikan pelaburan benar-benar menyumbang kepada pembentukan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan selaras dengan Wawasan Brunei 2035," jelas Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan bahawa dalam pembangunan ekonomi dan tenaga kerja dengan etika serta tatakelola kerana etika bukan sekadar peraturan tentang apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan, tetapi merupakan amanah dalam melaksanakan dasar, mengurus sumber dan peruntukan negara, membuat keputusan serta memastikan setiap usaha pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. Dasar yang baik dan peruntukan yang besar hanya akan menghasilkan impak apabila disokong oleh budaya kerja yang berintegriti, telus dan bertanggungjawab.

Dalam konteks Negara Brunei Darussalam (NBD) ujar Yang berhormat, nilai ini hendaklah terus berakar kepada falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), nilai kesetiaan kepada sultan dan negara, ajaran Islam serta keharmonian sosial yang menjadi asas kehidupan bernegara dan selaras dengan nilai teras Wawasan Brunei 2035.

Justeru kata Yang Berhormat, etika dan integriti hendaklah diterjemahkan melalui tindakan yang nyata, keputusan dibuat dengan amanah, perkhidmatan disampaikan secara adil dan profesional, sumber awam diurus dengan bertanggungjawab, prestasi dinilai berdasarkan hasil dan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

"Sehubungan itu, kaola menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menekankan bahawa KPI hendaklah menjadi panduan dalam menilai kemajuan negara, di samping memastikan mekanisme penetapan dan semakan KPI sentiasa berdaya tahan serta adaptif, dan yang paling utama, pencapaian Wawasan Brunei 2035 hendaklah benar-benar dapat dirasakan oleh rakyat.

"Selaras dengan titah tersebut, kaola mencadangkan supaya pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 terus diperkukuhkan melalui prinsip dasar, Tindakan hasil, akauntabiliti dengan setiap dasar mempunyai tindakan yang jelas, ukuran keberhasilan, pemantauan serta impak yang nyata kepada rakyat, agar kita beralih daripada ‘activity-based’ kepada ‘outcome-based governance’," jelas Yang Berhormat.

Yang berhormat juga mencadangkan pertimbangan Indeks Kualiti Pekerjaan, Indeks Keberkesanan Latihan dan Indeks Impak Pelaburan, yang dapat diselaraskan dengan data serta KPI yang sedia ada bagi mengukur kualiti pekerjaan, keberkesanan pembangunan kemahiran dan nilai sebenar pelaburan kepada ekonomi serta bakat tempatan.

Tambah Yang Berhormat, usaha ini sebagai sokongan dan nilai tambah supaya pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation dapat digerakkan dalam satu arah melibatkan kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, industri, masyarakat dan rakyat. Pada akhirnya, Wawasan Brunei 2035 adalah tentang manusia dan masa depan. Justeru itu, modal insan, ekonomi, kualiti kehidupan dan etika perlu bergerak sebagai satu ekosistem yang dipandu oleh tatakelola dengan penuh amanah dan berintegriti.

"Sebagai mengakhiri ucapan kaola bahawa Wawasan Brunei 2035 hendaklah diterjemahkan melalui dasar yang jelas, tindakan yang tersusun, hasil yang boleh diukur dengan manfaat yang benar-benar dirasa oleh rakyat, bukan sekadar menjadi dokumen perancangan tetapi menjadi budaya pelaksanaan dengan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerjasama seluruh pihak melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation.

"Marilah kita bersama-sama melangkah dengan yakin menuju 2035 demi mencapai rakyat yang berpendidikan, berhemah tinggi dan berjaya, kehidupan yang berkualiti serta ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan. Semoga segala usaha dan ikhtiar kita mendapat keberkatan serta petunjuk daripada Allah Subhanahu Wata'ala," ujar Yang Berhormat lagi.