Oleh : Khartini Hamir
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. – Penyediaan Kod Etika dan Tatakelakuan memberikan satu landasan penting kepada Majlis Mesyuarat Negara (MMN), di mana kekuatan sesebuah kod bukan hanya terletak pada prinsip yang dinyatakan, tetapi juga pada sejauh mana setiap peruntukan dapat difahami, dirujuk dan dilaksanakan apabila sesuatu keadaan sebenar timbul.
Atas dasar itu Ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin menyokong konsep dan kerangka yang telah dikemukakan, dengan menjelaskan penelitian dan analisis secara terperinci terhadap kerangka tersebut telah dijalankan dan mendapati terdapat beberapa aspek yang boleh ditambah baik.
Yang Berhormat menyatakan perkara itu semasa membincangkan Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Jelas Yang Berhormat, cadangan lebih tertumpu pada aspek pelaksanaan supaya kod ini bukan sahaja lengkap sebagai dokumen, tetapi turut berfungsi sebagai panduan kerja yang jelas kepada semua pihak.
“Kaola ingin bermula dengan Perkara 1.6 mengenai Kebolehpakaian Kod Etika dan Tatakelakuan.
“Peruntukan ini perlu memberikan makna yang jelas antara tanggungjawab seseorang semasa menjadi ahli dengan kewajipan tertentu yang masih berterusan selepas tamat perkhidmatan.
“Perkara 10 telah pun mengenal pasti tanggungjawab mantan ahli, termasuk menjaga kerahsiaan serta tidak menyalahgunakan gelaran atau kedudukan,” jelas Yang Berhormat.
Sehubungan itu, Yang Berhormat mencadangkan supaya Perkara 1.6 membuat rujukan langsung kepada Perkara 10 dan menyatakan bahawa selepas tamat perkhidmatan, hanya tanggungjawab khusus di bawah Perkara 10 yang terus berkuat kuasa.
Penjelasan ini terang Yang Berhormat lagi, akan membantu mantan ahli memahami kewajipan yang masih perlu dipelihara, di samping memberikan panduan yang lebih jelas kepada pihak yang bertanggungjawab melaksanakan kod.
Dengan cara ini tambah Yang Berhormat lagi, kepentingan majlis dan negara akan terus dilindungi melalui skop tanggungjawab yang dinyatakan dengan teratur.