Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BERAKAS, Rabu, 23 September. - Anugerah Jejak Bakti Pendidik merupakan satu penghormatan yang amat bermakna buat Awang Haji Abd. Razak bin Bongsu, 88 tahun, sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan beliau dalam bidang pendidikan serta pembangunan generasi selama lebih dua dekad.
Memulakan perkhidmatan sebagai guru pada tahun 1961, beliau telah menabur bakti selama 27 tahun dalam bidang pendidikan, selain terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat khususnya dalam bidang sukan dan kegiatan persatuan selepas bersara.
Mengenang kembali perjalanan awal kerjayanya, Awang Haji Abd. Razak berkata beliau merupakan antara 10 pelajar dari Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien (SOAS) yang terpilih untuk mengikuti kursus latihan perguruan selama tiga tahun di Kota Bharu Teacher’s College (KBTC), Kelantan, dari tahun 1957 hingga 1960. Beliau turut dipilih sebagai ketua rombongan berkenaan.
Selepas menamatkan latihan, beliau ditugaskan mengajar di Sekolah Melayu Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA) dari tahun 1961 hingga 1962, sebelum meneruskan perkhidmatan di Sekolah Preparatory SOAS dan Maktab SOAS sehingga tahun 1965.
Bagi beliau, penganugerahan Anugerah Jejak Bakti Pendidik yang diterimanya pada Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam (NBD) kali ke-36 tahun ini menjadi kenangan yang cukup istimewa setelah sekian lama mencurahkan khidmat sebagai seorang pendidik.
Beliau juga mengenang kembali detik istimewa ketika Al-Marhum Begawan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waiddien berangkat ke Kota Bharu, Kelantan dan berkenan beramah mesra bersama mereka.
Sepanjang berada dalam perkhidmatan, beliau bukan sahaja memberikan tumpuan kepada tugas mengajar, malah aktif mengembangkan kegiatan kesenian dan sukan dalam kalangan para pelajar.
Beliau berinisiatif menubuhkan dan mengetuai Badan Kesenian di Maktab SOAS, sekali gus memberi ruang kepada para pelajar untuk mengembangkan kebolehan dalam bidang lakonan, penulisan, nyanyian dan kegiatan seni budaya.
Dalam bidang sukan pula, beliau giat mempromosikan pelbagai kegiatan sukan dalam kalangan pelajar, di samping aktif menyertai kegiatan sukan sepanjang kerjayanya.
Antara pengalaman yang cukup bermakna ialah apabila beliau bersama sembilan orang guru pinjaman dari Malaysia yang berkhidmat di NBD berjaya mendaki hingga ke puncak Gunung Kinabalu pada 26 Ogos 1963. Beliau kemudiannya menerima sijil pengesahan daripada Tourist Association Sabah pada 11 Mei 1965.
Komitmen beliau terhadap peningkatan ilmu dan kemahiran turut terserlah apabila berpeluang mengikuti Certificate in Education for Heads of Schools and Administrators of Commonwealth Countries di Birmingham University, United Kingdom, pada tahun 1965.
Seterusnya, beliau mengikuti Diploma in Guidance and Counselling di Reading University, United Kingdom, dari tahun 1966 hingga 1967. Sekembalinya ke tanah air, beliau dilantik sebagai Guru Besar di Sekolah Rendah Anggerek Desa dan Supervisor Prep Class pada tahun 1967 hingga 1968.
Pada tahun 1969, beliau ditugaskan mengajar Trainee Teachers di Sekolah Melayu Berakas, sebelum dilantik sebagai Penolong Pensyarah di Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan dari tahun 1971 hingga 1973.
Bermula tahun 1974, beliau dilantik sebagai Pegawai Latihan di Unit Latihan, Jabatan Perjawatan Awam. Penglibatan beliau dalam bidang sukan dan persatuan turut berkembang apabila pada tahun 1973 beliau terpilih memegang jawatan Setiausaha Brunei Amateur Athletics Association (B.A.A.A.).
Dengan pengalaman serta kepimpinan yang dimiliki, beliau kemudiannya diberi kepercayaan mengetuai Kontinjen NBD ke Sukan SEA di Jakarta pada tahun 1979 dan Manila pada tahun 1981.
Semangat untuk terus meningkatkan ilmu turut mendorong beliau melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah apabila mengikuti Bachelor of Philosophy (Education) di Birmingham University pada tahun 1982.
Pada tahun berikutnya, beliau mengambil inisiatif menubuhkan Brunei Veteran Athletes Association (B.A.V.A.) dan dipilih sebagai Yang Di-Pertua pertamanya. Beliau juga memainkan peranan dalam menghidupkan kembali Borneo Games pada tahun 1985 yang melibatkan NBD, Sabah dan Sarawak.
Dalam kerjaya perkhidmatan awam, beliau turut diberikan kepercayaan berkhidmat sebagai 3rd Secretary di Suruhanjaya Tinggi NBD di London, United Kingdom, dari tahun 1987 hingga 1990, sebelum kembali meneruskan tugas sebagai Ketua Unit Latihan dan Pengambilan di Unit Latihan, Jabatan Perjawatan Awam sehingga bersara pada tahun 1992.
Namun, persaraan bukanlah noktah kepada penglibatan beliau dalam kegiatan kemasyarakatan dan sukan. Sebagai bekas atlet, beliau terus aktif menyertai pertandingan olahraga di peringkat kebangsaan dan serantau, termasuk dalam kategori veteran sehingga tahun 2017. Beliau turut terus menyumbang kepada perkembangan sukan olahraga negara dan pernah memegang jawatan Yang Di-Pertua B.A.V.A. sehingga tahun 2018.
Mengamalkan prinsip pembelajaran sepanjang hayat, Awang Haji Abd. Razak berpendapat bahawa guru dan pendidik hendaklah sentiasa berusaha meningkatkan ilmu serta kemahiran menerusi pendidikan, kursus latihan dan seminar, sama ada di dalam mahupun luar negara.
Menyentuh perkembangan teknologi masa kini, beliau melihat kemajuan Teknologi Maklumat dan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai satu kemudahan yang memberikan impak kepada guru dan penuntut, khususnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bagaimanapun, beliau menasihatkan agar kemudahan teknologi digunakan secara berhati-hati dengan menilai kesannya serta tidak disalahgunakan.
Beliau turut menekankan bahawa ciri-ciri asas dalam profesion perguruan, termasuk pembelajaran sepanjang hayat, keikhlasan dan komitmen, hendaklah sentiasa dikekalkan. Bagi beliau, nilai-nilai tersebut merupakan asas penting yang perlu terus dipelihara oleh warga pendidik dalam melaksanakan amanah membimbing dan membentuk generasi masa depan.
Anugerah Jejak Bakti Pendidik yang diterimanya bukan sahaja menjadi penghargaan terhadap khidmat beliau selama 27 tahun sebagai pendidik, malah mencerminkan perjalanan panjang seorang guru yang terus menyumbang kepada pendidikan, sukan dan pembangunan masyarakat.