Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan
BELAIT, Isnin, 14 September. - Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan Cawangan Daerah Belait telah menjalankan Operasi Usai 209 / 2026 di kawasan Lumut pada 10 September 2026 bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, Penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.
Pemeriksaan ke atas sebuah kegiatan kedai runcit telah mendapati sebanyak enam kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan terhadap pekerja-pekerja iaitu Bab 10, majikan tiada menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis dan Bab 65, melebihi jam bekerja yang telah ditetapkan.
Seterusnya, Bab 70, majikan gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan, Bab 71, majikan gagal memberikan cuti tahunan, Bab 72, majikan gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan dan Bab 112 (2), kesalahan syarat-syarat lesen pengambil pekerja asing, yang mana seorang pekerja asing berjawatan tukang potong ayam membuat pekerjaan penyusunan barang.
Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada BND1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan itu, Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis yang ditandatangani oleh majikan dan pekerja.
Kemudian, bekerja pada hari kelepasan awam hendaklah dibayar ganda atau diganti cuti pada hari lain, memberikan cuti hari kelepasan awam yang diwartakan dan memberikan cuti tahunan berbayar setelah 3 bulan berkhidmat di syarikat yang sama.
Untuk makluman lebih lanjut orang ramai bolehlah berhubung dengan Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan menerusi talian +673 2381848 (semasa waktu bekerja) atau +673 7298989 (di luar waktu bekerja).