Operasi Kakas JIPK 2026 membendung kesalahan imigresen

11 Og 2026 - 6:59am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan

 

SERIA, Isnin, 10 Ogos. - Operasi Kakas JIPK 2026 terus giat dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Cawangan Kuala Belait bagi membendung kesalahan imigresen di Negara Brunei Darussalam.

Dalam operasi yang dijalankan di kawasan persekitaran Mukim Seria, seramai 16 warganegara asing telah diperiksa dan enam daripadanya ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurut Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), daripada jumlah tersebut, lima orang warganegara asing dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17, iaitu tidak bekerja dengan majikan asal.

Sementara itu, seorang lagi warganegara asing dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17, iaitu tinggal lebih masa di negara ini selepas pas imigresennya mansuh.

Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan berasingan, JIPK turut memaklumkan mengenai satu sesi pendakwaan yang telah dijalankan melibatkan Norhani binti Jamudin, seorang perempuan warganegara Malaysia berumur 45 tahun.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara selama 24 bulan dan denda sebanyak BND3,500 selepas didapati bersalah atas tiga kesalahan di bawah Akta Imigresen, Penggal 17, iaitu Bab 36 - masuk semula ke negara ini selepas diusir secara sah; Bab 5(1) - masuk ke negara ini tanpa melalui Pos Kawalan yang diisytiharkan; dan Bab 6(1)(c) - masuk dan tinggal di negara ini tanpa mempunyai Pas Imigresen yang sah.

Tertuduh gagal membayar denda yang dikenakan dan hukuman tersebut digantikan dengan tambahan pemenjaraan selama tiga bulan, menjadikan keseluruhan tempoh pemenjaraannya 27 bulan.

Hukuman berkenaan mula berkuat kuasa pada 25 Jun 2026.

JIPK menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta memelihara keselamatan dan ketenteraman negara.