Oleh : Marlinawaty HussinFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) setakat ini belum menjalankan satu kajian formal yang menyeluruh khusus mengenai keperluan mewujudkan model simpanan haji bersepadu.
Ini kerana pendekatan yang diambil selama ini adalah memperkukuh setiap komponen secara berasingan dan mengiktiraf produk yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam sedia ada.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan menyatakan perkara itu bagi menjawab soalan yang diajukan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam mengenai cadangan mewujudkan model simpanan haji nasional yang bersepadu pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Di Negara Brunei Darussalam (NBD), jelas Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, ketiga-tiga fungsi dalam model simpanan haji bersepadu sudah pun wujud, cuma ia diletakkan secara berasingan.
Jelas Yang Berhormat, fungsi simpanan dan pelaburan patuh syariah dilaksanakan melalui dua produk yang ditawarkan oleh institusi kewangan yang telah pun matang dan diawasi.
Yang Berhormat menambah, KHEU melalui Jawatankuasa Jemaah Penasihat Haji telah mengiktiraf tiga produk akaun simpanan haji yang ditawarkan dengan kerjasama institusi kewangan Islam di negara ini iaitu Akaun Tekad Haji, Tabung Amanah Islam Brunei; Akaun Simpanan Haji, Bank Islam Brunei Darussalam dan Sijil Takaful Haji dan Umrah, Takaful Brunei Keluarga (TBK).
Walau bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak TBK, produk Sijil Takaful Haji dan Umrah tidak lagi ditawarkan sejak tahun 2025.
Menurut Yang Berhormat, dua produk simpanan yang masih ditawarkan diurus berlandaskan prinsip Syariah oleh institusi kewangan Islam dan tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa.
“Kemudahan seperti potongan gaji secara automatik dan caruman berkala membantu bakal-bakal haji membina disiplin simpanan dari awal. Apabila kita meneliti model simpanan haji bersepadu yang diamalkan di rantau ini, ia lazimnya menggabungkan tiga fungsi dalam satu badan iaitu fungsi simpanan dan pelaburan, fungsi pendaftaran dan pengurusan giliran, dan fungsi bantuan kos,” ujar Yang Berhormat.
Di NBD, kata Yang Berhormat, fungsi pendaftaran dan pengurusan giliran dilaksanakan melalui sistem Bruhaj di bawah Jabatan Urusan Haji. Manakala fungsi beberapa bantuan pula dilaksanakan seperti Kurnia Tambang Menunaikan Fardu Haji dan pembayaran ‘top-up’ tambang haji bagi menampung sebahagian kos tambang mengikut dasar, kelayakan dan aturan yang berkuat kuasa.
Yang Berhormat berkata, bantuan tersebut mengurangkan beban kewangan penerima yang layak. Satu kurnia yang tidak semestinya wujud di negara-negara lain.
Maka pendekatan negara ini selama ini, terang Yang Berhormat, adalah satu sistem yang tersusun secara berasingan mengikut kepakaran masing-masing dan bukan disatukan dalam satu badan tunggal.
Walau bagaimanapun, kata Yang Berhormat, pihak kementerian menyambut baik pandangan Yang Berhormat Ahli MMN berkenaan dan diambil perhatian mengenainya dengan turut mengambil kira perkembangan tadbir urus hal ehwal haji dan umrah yang sangat dinamik.