Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Azmah Haji Ahad
MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Selasa, 17 November. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri selaku wakil Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat bersama para Pemimpin ASEAN yang lain menghadiri Mesyuarat Pemimpin Asia Zero Emission Community (AZEC) Ke-4.
Pada mesyuarat tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen bersabda merakamkan penghargaan kepada Jepun atas kepimpinannya dalam AZEC dan mengetengahkan bahawa ketidaktentuan geopolitik terus menjejaskan pasaran tenaga serta rantaian bekalan.
Duli Yang Teramat Mulia menekankan peranan penting AZEC dalam memajukan usaha penyahkarbonan di samping memperkukuh keselamatan tenaga dan daya tahan serantau.
DYTM seterusnya menegaskan bahawa sekuriti tenaga dan penyahkarbonan perlu saling memperkukuh antara satu sama lain, dengan mengambil kira keadaan setiap negara yang berbeza, selaras dengan prinsip AZEC, iaitu 'One Goal, Various Pathways'.
DYTM turut bersabda mengetengahkan kelebihan yang saling melengkapi antara teknologi Jepun, sumber tenaga Australia dan pasaran ASEAN yang semakin berkembang dalam menyokong peralihan tenaga secara praktikal.
Walau bagaimanapun, DYTM mengingatkan bahawa peralihan tersebut tidak seharusnya mewujudkan kebergantungan baharu, khususnya apabila pengurangan kebergantungan terhadap bahan api konvensional boleh meningkatkan kebergantungan kepada sebilangan kecil pembekal mineral kritikal dan teknologi.
DYTM juga bersabda menekankan pentingnya menterjemahkan aspirasi AZEC kepada kerjasama yang praktikal, termasuk memperkukuh kesalinghubungan tenaga dan kesiapsiagaan serantau serta kerjasama dalam bidang penyelidikan iklim, pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti dan pembiayaan.
Dalam hubungan ini, DYTM bersabda bahawa Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ASEAN Centre for Climate Change – ACCC), yang akan berpejabat di Negara Brunei Darussalam (NBD), merupakan salah satu saluran kerjasama yang praktikal.
DYTM merakamkan penghargaan kepada Jepun dan Australia atas sokongan kedua-dua negara terhadap inisiatif perubahan iklim ASEAN, termasuk pembangunan pusat berkenaan; dan mengalu-alukan kerjasama yang lebih erat dengan Jepun dan Australia bagi memperkukuh keupayaan institusi dan teknikal ACCC serta menghubungkan keutamaan iklim ASEAN dengan inisiatif-inisiatif AZEC yang berkaitan, di samping memastikan usaha sedemikian melengkapi gerak kerja sedia ada dan mengekalkan kepimpinan ASEAN dalam Pusat tersebut.
Akhir sekali, DYTM bersabda menegaskan bahawa peralihan tenaga perlu memperkukuh dan bukannya menjejaskan daya tahan serantau, manakala AZEC hendaklah menggalakkan kerjasama dan bukannya perpecahan dalam menghadapi persaingan geopolitik.
DYTM turut menegaskan semula komitmen NBD untuk terus bekerjasama dengan rakan- rakan AZEC bagi menghasilkan manfaat yang praktikal kepada ekonomi dan rakyat.