Kerjasama maritim mempertingkatkan keselamatan, kestabilan serantau

18 Nov 2026 - 10:01am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Azmah Haji Ahad

MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Selasa, 17 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama para Pemimpin ASEAN, hari ini berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-India Ke-23.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Pada Sidang Kemuncak berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah mengetengahkan hubungan maritim yang telah lama terjalin antara Asia Tenggara dan Republik India melalui perdagangan, kebudayaan serta pertukaran antara rakyat.

Baginda dalam titah turut mengingatkan bahawa peningkatan ketegangan maritim boleh mengancam hubungan tersebut dan seterusnya menekankan peranan penting kerjasama ASEAN-India dalam memelihara keamanan, kestabilan serta kebebasan pelayaran.

Menyatakan bahawa keselamatan dan kemakmuran ekonomi Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai sebuah negara pesisir yang kecil bergantung kepada lautan yang terbuka dan selamat, Kebawah DYMM dalam titah menegaskan bahawa hak semua negara, tanpa mengira saiz, hendaklah dihormati berlandaskan undang - undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).

Bagi mengelakkan insiden maritim daripada meruncing, baginda bertitah menekankan kepentingan kerjasama praktikal dengan mengetengahkan Latihan Maritim ASEAN-India Ke-2 sebagai landasan yang bermanfaat dalam memperkukuh komunikasi dan perkongsian maklumat antara pihak berkuasa maritim.

Mengakhiri titah, Kebawah DYMM turut menekankan kepentingan melindungi sumber marin, mata pencarian masyarakat pesisir pantai serta ekosistem marin melalui kerjasama yang lebih erat dalam pengurusan perikanan mampan, khususnya dalam membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia.

Baginda bertitah merumuskan bahawa kerjasama maritim yang diperkukuh akan memantapkan keselamatan dan kestabilan serantau, sekali gus memajukan perdagangan, kesalinghubungan serta hubungan ekonomi yang lebih luas antara ASEAN dan Republik India.