Memperkukuh institusi MMN berlandaskan integriti, amanah

9 Og 2026 - 8:43am

Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji AliFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid merakamkan sokongan padu terhadap usul penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang telah dicadangkan oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan juga merakamkan penghargaan kepada Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan yang bernas dan bermakna ini.

“Perbahasan sebegini mencerminkan peranan dewan yang mulia ini sebagai wadah untuk membahaskan isu-isu penting serta bertukar pandangan secara sihat, konstruktif dan berhemah.

“Dengan segala hormat, izinkanlah saya untuk mengemukakan beberapa perspektif tambahan yang diharapkan dapat memberikan gambaran yang lebih menyeluruh terhadap perkara yang sedang dibincangkan,” ujar Yang Berhormat semasa menyampaikan perbahasan usul pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Yang Berhormat ingin mengimbas kembali kata-kata hikmah yang telah dikongsikan oleh Yang Berhormat Yang Di-Pertua, bahawa tiada satu dokumen pun akan mencapai tahap kesempurnaan sepenuhnya, dan mustahil untuk memuaskan hati semua pihak.

Namun tambah Yang Berhormat, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat Yang Di-Pertua, kita perlu memulakan langkah pertama, dan langkah ini merupakan langkah yang tepat ke arah yang betul, yang boleh terus diperbaiki dan diperhalusi dari semasa ke semasa.

Yang Berhormat seterusnya ingin menyokong dan menambah hujah yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II berkenaan dengan peruntukan-peruntukan kod tatatertib, yang mana merupakan amalan lazim badan-badan perundangan di seluruh dunia bagi memelihara martabat, kewibawaan dan integriti sesebuah dewan.

“Saya juga ingin mengimbas semula beberapa kebimbangan yang telah dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat. Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee telah membangkitkan persoalan mengenai skop pemakaian Kod Etika selepas tamat perkhidmatan, tatacara pengendalian maklumat sulit serta pemakaian kod ini terhadap Menteri-menteri berbanding Ahli Yang Dilantik.

“Manakala Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin telah menzahirkan kebimbangan bahawa peruntukan-peruntukan tatakelakuan dan kerahsiaan di dalam Kod Etika ini dapat menjejaskan kebebasan bersuara Ahli-ahli Yang Berhormat.

“Saya dengan hormatnya ingin menegaskan bahawa kebimbangan yang dibangkitkan, khususnya yang mengaitkan peruntukan kerahsiaan dengan risiko sekatan kebebasan bersuara Ahli-ahli Yang Berhormat, pada hemat saya adalah tidak berasas apabila diteliti dengan lebih mendalam,” kata Yang Berhormat.

Menjawab kebimbangan mengenai isu kebebasan bersuara, Yang Berhormat berpandangan bahawa kebimbangan ini timbul daripada tafsiran yang terlalu luas.

Kod Etika ini jelas Yang Berhormat, sebagaimana di draf, hanya mewajibkan kerahsiaan ke atas maklumat yang jelas diklasifikasikan sebagai rahsia atau rahsia besar, dan bukannya keseluruhan maklumat rasmi yang diterima oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dalam pelaksanaan tugas.

Justeru, kebimbangan bahawa ahli-ahli akan menjadi terlalu berhati-hati sehingga tidak berani memberi penjelasan kepada rakyat, pada pandangan Yang Berhormat, adalah tidak wajar dan tidak berasas, kerana Kod ini sememangnya tidak menyekat perkongsian maklumat rasmi yang tidak diklasifikasi sebagai rahsia.

Yang Berhormat seterusnya membangkitkan persoalan yang telah ditimbulkan oleh Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee mengenai pemakaian Kod Etika ini kepada Menteri-menteri Kabinet.

“Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, saya sendiri selaku seorang Menteri Kabinet, bersama Menteri-menteri Kabinet yang lain, turut terikat sepenuhnya dengan peruntukan-peruntukan Kod Etika ini.

“Bahkan, memandangkan kami mempunyai akses kepada maklumat di peringkat Kabinet yang lebih sensitif, termasuk perkara-perkara yang melibatkan keselamatan negara dan dasar-dasar kerajaan, Menteri-menteri Kabinet adalah terikat kepada piawaian kerahsiaan yang lebih tinggi berbanding Ahli-ahli Yang Dilantik yang lain,”jelas Yang Berhormat.

Oleh itu, tambah Yang Berhormat, tidak timbul persoalan bahawa Menteri-menteri Kabinet dikecualikan, sebaliknya ia adalah suatu tanggungjawab yang dipikul dengan rela hati dan penuh integriti selaras dengan amanah besar yang dipertanggungjawabkan kepada Menteri-menteri Kabinet.

Kongsi Yang Berhormat lagi, pemerhatian, tanpa menyebut nama negara atau individu yang terlibat, semata-mata untuk menzahirkan betapa pentingnya peruntukan-peruntukan mengenai tatakelakuan dan tatatertib di dalam Kod Etika ini untuk memelihara martabat dan kredibiliti sesebuah institusi.

Sebagai misal, terdapat satu kes dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini di mana seorang ahli dewan di sebuah negara jiran terpaksa meletakkan jawatan susulan pendedahan bahawa keterangan yang telah dikemukakannya sendiri di hadapan dewan sebelum ini didapati tidak benar terang Yang Berhormat.

Ahli dewan berkenaan, tambah Yang Berhormat, bukan sahaja terpaksa meletakkan jawatan, malah kemudiannya turut didakwa di mahkamah atas kesalahan yang berkaitan dengan keterangan palsu tersebut.

“Peristiwa ini membuktikan bahawa ketidakjujuran seorang ahli dewan di hadapan dewan bukan sahaja mengundang implikasi undang-undang yang serius terhadap individu berkenaan, malah menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi dewan secara keseluruhannya.

“Kepercayaan yang tercalar akibat tindakan sedemikian bukan mudah dipulihkan dan boleh menjejaskan kewibawaan institusi tersebut untuk tempoh yang panjang,”ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat mengongsikan satu lagi contoh iaitu insiden yang pernah terjadi di sebuah dewan di rantau ini, apabila seorang ahli dewan telah didapati menggunakan bahasa kurang sopan dan tidak wajar diungkapkan di dalam parlimen ketika siaran langsung persidangan sedang berlangsung.

Insiden tersebut terang Yang Berhormat, tular dengan begitu cepat, mencetuskan kemarahan dan kekecewaan orang ramai, sehingga ahli dewan berkenaan dikenakan tindakan tatatertib berupa penggantungan daripada menghadiri persidangan dewan bagi suatu tempoh.

Peristiwa ini membuktikan bahawa tingkah laku yang tidak beretika di dalam dewan bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan. Selain mencemarkan nama baik ahli dewan yang terlibat, ia turut menghakis keyakinan rakyat terhadap kewibawaan, maruah dan kesantunan institusi dewan itu sendiri.

Kepercayaan orang ramai terjejas akibat tindakan sedemikian bukan mudah dipulihkan dan kesannya boleh berpanjangan terhadap reputasi institut tersebut.

Tekan Yang Berhormat, pemerhatian ini jelas menunjukkan bahawa ketiadaan garis panduan tatakelakuan yang jelas bukan sahaja tidak memartabatkan kebebasan bersuara, malah sebaliknya boleh membuka ruang kepada tindakan-tindakan yang menjejaskan kredibiliti ahli dewan itu sendiri, mengundang tindakan tatatertib atau implikasi undang-undang, serta menghakis kepercayaan awam terhadap institusi yang diwakilinya.

“Ini bermakna Kod Etika ini pada dasarnya merupakan suatu dokumen panduan yang akan memberikan Ahli-ahli Yang Berhormat satu rangka kerja yang jelas, yang melindungi ahli-ahli apabila menghadapi situasi-situasi yang kompleks dan mencabar.

“Dalam erti lain kod yang baik bukan bebanan atau sekatan, sebaliknya merupakan satu bentuk perlindungan yang membantu ahli-ahli untuk bertindak dengan keyakinan, berlandaskan prinsip integriti dan tatakelakuan yang jelas,” kata Yang Berhormat.

Berkenaan prinsip integriti dan pengisytiharan harta yang terkandung di dalam Kod Etika ini, Yang Berhormat berkongsi sedikit pengalaman semasa berkhidmat sebagai Pengarah di Biro Mencegah Rasuah sebelum ini.

Menerusi pengalaman tersebut, Yang Berhormat menyaksikan sendiri kewujudan satu sistem pengisytiharan harta dan aset yang telus, menyeluruh dan berkesan adalah suatu keperluan penting.

Sistem sedemikian bukan sahaja berperanan sebagai langkah pencegahan terhadap salah laku, malah turut menjadi mekanisme perlindungan kepada penjawat awam daripada sebarang tuduhan atau syak wasangka yang tidak berasas jelas Yang Berhormat.

Sesungguhnya, amalan pengisytiharan harta secara telus ini salah satu tonggak utama dalam memastikan tadbir urus yang berintegriti dan berakauntabiliti. Sebagaimana yang sering Yang Berhormat tegaskan semasa berkhidmat dahulu, sekiranya seseorang itu tiada apa-apa yang perlu disembunyikan, maka tiada juga apa-apa yang perlu ditakuti.

Prinsip inilah tambah Yang Berhormat, yang wajar dihayati oleh setiap Ahli MMN, pengisytiharan harta bukanlah suatu bebanan, sebaliknya suatu pernyataan tanggungjawab dan bukti komitmen ketelusan, akauntabiliti, amanah dan integriti peribadi masing-masing.

Yang Berhormat yakin bahawa setiap ahli yang hadir di dalam dewan yang mulia ini hari ini berkongsi satu aspirasi yang sama, iaitu untuk memastikan bahawa institusi MMN ini terus diperkasakan sebagai sebuah institusi yang dihormati, berwibawa dan teguh berlandaskan prinsip integriti, ketelusan, amanah dan melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas kepada rakyat dan negara.

Tegas Yang Berhormat, Kod Etika ini bukan sekadar satu dokumen panduan, tetapi merupakan suatu manifestasi komitmen bersama kita untuk memelihara maruah, kewibawaan dan kepercayaan terhadap institusi yang kita wakili.

Dengan adanya panduan yang jelas tambah Yang Berhormat lagi, bukan sahaja melindungi kepentingan institusi ini, malah memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap Ahli-ahli Yang Berhormat sebagai pemegang amanah awam.