Oleh : Marlinawaty HussinFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Pendekatan Whole of Nation amat penting dengan melibatkan seluruh lapisan masyarakat termasuk generasi belia sebagai pewaris kemakmuran dan pembangunan hari ini, dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad semasa menyampaikan Kenyataan Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 : Memperkukuh Penyelarasan Ke Arah Pencapaian Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Ke arah menyokong pencapaian ketiga-tiga matlamat ini, kata Yang Berhormat, lapan Keutamaan Negara (National Priorities) diperkenalkan yang merentas ketiga-tiga matlamat iaitu Pendidikan dan Tenaga Manusia; Kesihatan, Kesejahteraan Sosial, Pengangkutan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Tadbir Urus dan Kerjasama; Sains, Teknologi dan Inovasi dan Ekonomi.
“Setiap Keutamaan Negara ini pula, didukung oleh 13 Hasil Pencapaian Kebangsaan (National Outcomes) yang menjelaskan impak yang ingin dicapai, demi kemajuan negara, serta kesejahteraan rakyat dan penduduk,” ujar Yang Berhormat.
Bagi Matlamat Pertama : Rakyat Yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya, ada dua hasil pencapaian kebangsaan iaitu mewujudkan Sistem Pendidikan Kelas Pertama melalui Pendidikan Berkualiti Tinggi, digandingi Pendidikan Ugama, Kesaksamaan Peluang Pendidikan, Pembangunan Kemahiran Berasaskan Laluan Pendidikan Yang Mantap dan Pendidikan Sepanjang Hayat, kongsi Yang Berhormat.
Selain itu, jelas Yang Berhormat, kita juga ingin melihat Pembangunan Sumber Tenaga Manusia yang Memenuhi Keperluan sektor-sektor Ekonomi yang diutamakan, memfokuskan kepada Tenaga Kerja Berkemahiran Tinggi dan Kompetitif, dan Rakyat serta Penduduk Berjaya dalam pelbagai bidang.
“Seterusnya, Matlamat Kedua : Kualiti Kehidupan Rakyat yang Tinggi, ada tujuh hasil pencapaian kebangsaan merentas enam keutamaan kebangsaan. Bagi keutamaan kebangsaan kesihatan, hasil pencapaian yang dihasratkan adalah warga sihat, di mana ‘kitani’ mahu melihat rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam ini mengamalkan ‘Gaya Hidup Sihat’ bagi negara mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang berkualiti dan resilien dan mampu mencegah dan mengawal Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit (Non-Communicable Diseases - NCDs),” jelas Yang Berhormat.
Seterusnya Yang Berhormat berkata, bagi Kesejahteraan Sosial, ada dua hasil pencapaian yang dihasratkan iaitu Masyarakat Yang Bersepadu, Resilien dan Berdaya Tahan yang memfokuskan kepada keperluan masyarakat yang inklusif dipenuhi, seperti perumahan, bekalan air bersih, bekalan elektrik, bekalan pemakanan, kemudahan perkhidmatan sanitasi dan jalan raya.
Hasil pencapaian ini juga memfokuskan kepada Pembangunan komuniti yang proaktif, Jati diri yang kukuh dan Memupuk Minda yang Berdaya Tahan dan Mandiri, kata Yang Berhormat.
Seterusnya lagi, tambah Yang Berhormat, hasil pencapaian Kedaulatan, Kestabilan dan Keamanan Dipertahankan, memfokuskan kepada negara yang berdaulat, stabil dan aman, kemajuan dalam kepentingan negara; serta kesiapsiagaan dan keupayaan awam menghadapi cabaran keselamatan, kecemasan dan bencana.
Bagi Pengangkutan pula, hasil pencapaian yang dihasratkan adalah infrastruktur pengangkutan yang mampan, memfokuskan kepada sistem pengangkutan, dan pergerakan orang ramai serta barangan bagi meningkatkan akses mobiliti dalam dan luar negara, terang Yang Berhormat.
Bagi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, kata Yang Berhormat, hasil pencapaian yang dihasratkan adalah Negara Hijau yang memberi tumpuan kepada Tindakan Perubahan Iklim, pemeliharaan dan perlindungan biodiversiti dan warisan alam semula jadi serta memupuk masyarakat bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Bagi Tadbir Urus dan Kerjasama, jelas Yang Berhormat, apa yang dihasratkan adalah Pemberian Perkhidmatan Awam yang Cemerlang dengan memfokuskan kepada tadbir urus strategik yang kukuh dan institusi yang berkesan, inklusif dan mempunyai tahap integriti yang tinggi.
“Manakala, bagi Sains, Teknologi dan Inovasi, hasil pencapaian yang dihasratkan adalah Negara Pintar (Smart Nation), memfokuskan kepada Transformasi Digital; Pemantapan ketersambungan digital (digital connectivity); Peningkatan Penyelidikan dan Pembangunan (Research and Development); serta Pengukuhan ekosistem keseluruhannya.
“Seterusnya, Matlamat 3, Ekonomi yang Dinamik dan Berdaya Tahan mengandungi empat Hasil Pencapaian Kebangsaan iaitu Pertumbuhan Ekonomi yang Tinggi dan Berdaya Tahan, yang mana pencapaiannya memerlukan peningkatan pengeluaran dan produktiviti melalui penggunaan teknologi dan inovasi; Pengukuhan sektor swasta terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan Penarikan pelaburan tempatan dan langsung asing (domestic and foreign direct investment),” ujar Yang Berhormat.
Tambah Yang Berhormat, Kedua, Ekonomi yang Pelbagai dan Bersedia untuk Masa Depan (Future Ready), memfokuskan kepada pengukuhan kedayasaingan dan pembangunan sektor keutamaan; Penjanaan kegiatan ekonomi nilai-tambah dan industri baharu; Penerokaan pasaran baharu dan membina rangkaian perdagangan yang lebih luas dan Memantau serta merancang bagi peluang-peluang sektor ekonomi yang baharu muncul (emerging).
Ketiga, Persekitaran Kerja Yang Kondusif Bagi Anak Tempatan, yang memerlukan Penjanaan peluang pekerjaan serta memastikan pengurangan kadar pengangguran ditangani melalui usaha padu pelbagai pihak kongsi Yang Berhormat.
“Dan Keempat, Kestabilan Makroekonomi, yang memfokuskan kepada Peningkatan prestasi ekonomi negara dan memastikan Kadar inflasi di tahap yang terkawal dan stabil,” kata Yang Berhormat.
Yang Berhormat menekankan, kemajuan ke arah pencapaian hasil-hasil tersebut seterusnya dinilai melalui 42 Petunjuk Prestasi Utama Kebangsaan yang menyediakan ukuran prestasi di peringkat negara. Kemajuan dinilai berasaskan data, bagi memberikan gambaran menyeluruh mengenai pencapaian Wawasan Brunei 2035, melalui Indeks Wawasan Brunei yang akan dilaporkan pada setiap tahun.
“Secara keseluruhannya, Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035, saling melengkapi dalam menghubungkan hala tuju negara dengan hasil-hasil yang ingin dicapai serta pengukuran kemajuannya,” kata Yang Berhormat.