Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
TUTONG, Selasa, 1 September. - Dalam usaha untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan pada masa yang sama menerima maklum balas yang perlu diberikan perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Bahagian Komunikasi Strategik, hari ini mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Tanjong Maya / Kampung Lubok Pulau dan Kampung Bukit Udal / Kampung Penapar, Mukim Tanjong Maya, Daerah Tutong, bertempat di Dewan Kemasyarakatan Tanjong Maya, Daerah Tutong.
Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini manakala rombongan dari Mukim Tanjong Maya diketuai oleh Awang Mohd. Azaman Shah bin Haji Sahari selaku Penghulu Mukim Tanjong Maya.
Mewakili Kampung Tanjong Maya / Kampung Lubok Pulau ialah Awang Nur Azmil bin Haji Ismail selaku Ketua Kampung Tanjong Maya / Kampung Lubok Pulau, manakala Kampung Bukit Udal / Kampung Penapar diwakili oleh Awang Haji Masri bin Haji Abdullah selaku Ketua Kampung Bukit Udal / Kampung Penapar.
Turut hadir, pegawai-pegawai dari Jabatan Penerangan, Pusat Kebangsaan E-Kerajaan dan Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran.
Program dimulakan dengan kata-kata aluan daripada ketua rombongan yang menyentuh mengenai hasrat jabatan agar program ini menjadi salah satu landasan komunikasi antara kerajaan dan rakyat.
Ketua rombongan juga menyeru untuk sama-sama mendukung hasrat dan aspirasi kerajaan dalam meningkatkan lagi penyertaan di peringkat akar umbi sebagai salah satu strategi Whole of Nation Approach dalam menyumbang kepada pembangunan negara.
Program juga diisi dengan penyampaian maklumat kepada penduduk kampung oleh Jabatan Penerangan mengenai 'Penyebaran Maklumat Palsu', taklimat daripada Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran mengenai 'Tenaga yang boleh diperbaharui (Renewable energy)', dan taklimat dari Pusat Kebangsaan E-Kerajaan mengenai 'BruneiID'.
Program Sua Muka turut diselitkan dengan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan, antaranya berkaitan dengan prasarana, ekonomi, keselamatan, kebajikan dan kemudahan awam.