Membantu PKS memasarkan produk, menjana pendapatan

28 Sep 2026 - 6:30am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi 

Foto : Ihsan Majlis Perundingan Mukim Pengkalan Batu

PENGKALAN BATU, Ahad, 27 September. - Tamu Hujung Minggu (THM) terus menjadi antara wadah bagi merancakkan kegiatan ekonomi setempat, khususnya dalam membantu para Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memasarkan produk serta menjana pendapatan.

Projek perekonomian bulanan anjuran Majlis Perundingan Mukim (MPM) Pengkalan Batu berkenaan berlangsung di Taman Rekreasi dan Mini Perayaan Kampung Parit, Mukim Pengkalan Batu, dengan menghimpunkan pelbagai pengusaha tempatan.

Diadakan dua kali sebulan, THM menawarkan pelbagai barangan dan produk tempatan, antaranya buah-buahan, sayur-sayuran, makanan dan minuman, tanaman serta pelbagai keperluan lain.

Selain memberi peluang kepada para pengusaha untuk memperkenalkan dan menjual hasil keluaran mereka, THM turut menjadi platform bagi menggalakkan masyarakat menyokong produk tempatan sekali gus menyumbang kepada pengukuhan ekonomi komuniti.

Menariknya, kemeriahan THM bukan hanya tertumpu kepada aktiviti jual beli, malah ia turut menjadi ruang pertemuan dan silaturahim bagi komuniti setempat untuk meluangkan masa bersama keluarga, bertemu sahabat handai serta mengeratkan hubungan sesama komuniti.

Suasana santai di lokasi rekreasi berkenaan menjadikan THM bukan sekadar sebuah tamu, malah sebagai sentral interaksi masyarakat yang menggabungkan kegiatan ekonomi, rekreasi dan hubungan kemasyarakatan.

Inisiatif seumpama berkenaan juga diharap dapat terus menyokong usaha memperkasa PKS dan membuka lebih banyak ruang kepada pengusaha tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka, di samping menjadikan Mukim Pengkalan Batu sebagai salah satu tumpuan kegiatan ekonomi komuniti.