Oleh : Khartini Hamir
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. – Pada membincangkan Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, Ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin turut memberikan perhatian kepada Perkara 11 mengenai Penguatkuasaan, Prosedur Aduan dan Tindakan Disiplin.
Yang Berhormat mengalu-alukan penyediaan saluran aduan, proses penelitian awal dan penubuhan Lembaga Penyiasat apabila diperlukan, di mana mekanisme ini menyediakan asas yang penting bagi memastikan setiap perkara dapat ditangani secara teratur dan saksama.
Tambah Yang Berhormat lagi, bagi melengkapkan proses tersebut, tatacara pengendalian aduan mungkin dapat disusun mengikut peringkat yang mudah dirujuk, bermula daripada penerimaan dan saringan awal aduan, pemakluman kepada ahli yang diadu, ruang untuk memberikan penjelasan, penelitian fakta serta penyampaian keputusan.
“Tempoh yang munasabah bagi setiap peringkat juga boleh ditetapkan supaya semua pihak mengetahui perjalanan prosesnya,” ujar Yang Berhormat.
Bagi Perkara 11.6, Yang Berhormat seterusnya mencadangkan supaya panduan mengenai keanggotaan Lembaga Penyiasat dapat diperincikan.
Mana-mana anggota kata Yang Berhormat, yang mempunyai kepentingan atau hubungan dengan perkara yang disiasat wajar membuat pengisytiharan dan tidak mengambil bahagian dalam penyiasatan berkenaan.
Yang Berhormat turut mencadangkan supaya tempoh pelantikan anggota lembaga dinyatakan dengan jelas dan komposisi keanggotaannya disemak secara berkala.
Langkah ini kata Yang Berhormat, dapat membantu memastikan lembaga sentiasa mempunyai keseimbangan pengalaman, kewibawaan dan keupayaan yang diperlukan dalam menjalankan tanggungjawabnya.
Yang Berhormat juga menyentuh penentuan tindakan terhadap sesuatu pelanggaran, yang mana Perkara 11.1.2 dan Perkara 11.2.1 memberikan bidang kuasa serta budi bicara kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN dalam menilai sesuatu kesalahan, manakala Perkara 11.3.3 memperuntukkan tindakan berupa amaran atau tindakan tatatertib.
“Kaola bersetuju dengan peruntukan tersebut. Bagi menyokong pelaksanaannya, satu rangka kerja tindakan disiplin secara berperingkat boleh disediakan sebagai panduan.
“Rangka kerja ini boleh memperincikan kategori dan tahap pelanggaran serta bentuk tindakan yang bersesuaian dengan mengambil kira keseriusan kesalahan, kesannya, sama ada ia berulang dan apa-apa keadaan berkaitan,” terang Yang Berhormat.
Panduan ini jelas Yang Berhormat lagi, tidak mengambil alih budi bicara yang diperuntukkan, sebaliknya, ia menyediakan asas pertimbangan yang lebih tersusun supaya pelanggaran yang setara dinilai berlandaskan ukuran yang seragam dan tindakan yang dikenakan sepadan dengan tahap pelanggaran.