Memastikan jentera kerajaan sentiasa bebas daripada amalan kronisme, nepotisme

9 Og 2026 - 9:07am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Berkenaan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee mengenai tatacara pengendalian maklumat sulit serta keperluan garis panduan dan latihan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu berkongsi pandangan dalam kapasiti Yang Berhormat selaku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN).

Pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, Yang Berhormat ingin memaklumkan bahawa JKDN sedia dan berbesar hati untuk menyediakan taklimat serta latihan berkaitan pengendalian dan klasifikasi maklumat sulit kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekiranya diperlukan bagi memastikan pemahaman yang jelas dan seragam mengenai skop serta had kerahsiaan yang dimaksudkan di dalam Kod Etika ini.

Yang Berhormat juga ingin menjawab kebimbangan yang dibangkitkan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin mengenai peruntukan kerahsiaan di dalam Kod Etika ini, yang mana Yang Berhormat ingin menegaskan bahawa peruntukan tersebut, bukanlah suatu sekatan yang tidak berasas, sebaliknya adalah suatu keperluan asasi bagi memelihara kepentingan jangka panjang kerajaan.

Ahli-ahli MMN kata Yang Berhormat, dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka sering kali diberikan capaian ataupun akses kepada maklumat-maklumat sensitif dan terkelas yang melibatkan keselamatan negara dan dasar-dasar kerajaan.

Peruntukan kerahsiaan ini pada hemat Yang Berhormat, bukan saja bertujuan melindungi kepentingan kerajaan malah turut melindungi Ahli-ahli Yang Berhormat itu sendiri daripada sebarang implikasi yang tidak diingini selaras dengan peruntukan-peruntukan yang termaktub di dalam Akta Rahsia Rasmi, Official Secrets Act.

Dalam pada itu, Yang Berhormat ingin menambah dengan mengimbas kembali titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu Rang Titah Mukadimah Persidangan Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet Yang ke-92, pada 15 Jun 2026, dalam mana, baginda telah menegaskan kepada Menteri-menteri Kabinet baharu untuk sentiasa menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan jujur, berintegriti dan beretika dalam sama-sama memastikan jentera kerajaan sentiasa bebas daripada amalan kronisme, nepotisme atau sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa yang boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan.

Titah baginda ini pada pandangan Yang Berhormat amat relevan dengan usul yang sedang dibincangkan pada hari ini kerana kronisme dan juga nepotisme yang dibimbangkan oleh baginda adalah antara perkara-perkara yang cuba ditangani secara langsung menerusi mekanisme, pengisytiharan harta, pengurusan konflik kepentingan dan tatakelakuan yang terkandung di dalam Kod Etika ini.

Menurut Yang Berhormat lagi, baginda juga sebelum ini turut pernah menitahkan penegasan mengenai sifar toleransi terhadap penyalahgunaan kuasa dan gejala rasuah di samping turut menyentuh kepentingan integriti, ketelusan dan akauntabiliti.

Titah-titah baginda kata Yang Berhormat lagi, secara konsisten menzahirkan penegasan bahawa budaya integriti mestilah dihayati merentasi seluruh jentera kerajaan termasuklah MMN sebagai institusi perundangan negara.

“Kaola juga ingin mengaitkan usul ini dengan komitmen antarabangsa Negara Brunei Darussalam (NBD) di bawah United Nations Convention Against Corruption ringkasnya UNCAC.

“Komitmen ini telah dizahirkan menerusi pencapaian signifikan NBD di dalam Corruption Perception Index ataupun CPI bagi tahun 2025 dalam mana negara telah mencatatkan pencapaian yang terbaik setakat ini iaitu kedudukan kedua tertinggi di rantau ASEAN hanya di belakang Republik Singapura,” terang Yang Berhormat.

Pada hemat Yang Berhormat, penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN ini bukan saja selaras dengan komitmen negara terhadap UNCAC, malah turut menjadi testimoni kepada penghayatan prinsip-prinsip tadbir urus yang baik yang telah menyumbang kepada peningkatan kedudukan negara di dalam indeks antarabangsa.

Yang Berhormat juga ingin menyentuh mengenai satu cabaran unik yang dihadapi oleh NBD sebagai sebuah negara yang mempunyai jumlah penduduk yang relatif kecil, iaitu kurang daripada 500,000 orang, di mana dalam sebuah masyarakat yang kecil, erat dan saling berkait rapat melalui hubungan kekeluargaan, perkahwinan serta hubungan sosial adalah suatu hakikat bahawa potensi mengelakkan sepenuhnya sebarang unsur konflik kepentingan merupakan suatu perkara yang amat mencabar, malah hampir mustahil untuk dicapai sepenuhnya.

Namun justeru itu terang Yang Berhormat, kewujudan mekanisme yang jelas seperti Kod Etika ini menjadi lebih penting lagi kerana ia bukan bertujuan untuk menafikan hakikat perhubungan tersebut tetapi untuk memastikan bahawa apa jua bentuk kepentingan yang bertentangan itu dapat dikenal pasti, diuruskan dan diselaraskan secara telus supaya ia tidak menjejaskan kepentingan negara secara keseluruhannya.

“Ini akan menunjukkan kepada dunia bahawa NBD mampu menguruskan cabaran ini secara profesional, matang dan bijaksana.

“Ini juga pada pandangan koala adalah satu lagi bukti kebijaksanaan wawasan jauh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menyarankan penggubalan Kod Etika ini,” ujar Yang Berhormat.

Tambah Yang Berhormat lagi, baginda telah melihat jauh ke hadapan akan keperluan suatu mekanisme formal bagi menangani cabaran yang timbul dari struktur sosial NBD yang unik sebelum isu-isu berkaitan menjadi lebih kompleks dan sukar untuk ditangani pada masa hadapan.

Justeru, Yang Berhormat dengan penuh keyakinan berpandangan bahawa MMN merupakan wadah yang paling wajar untuk memulakan perlaksanaan Kod Etika seumpama ini. Langkah tersebut diharapkan dapat menjadi contoh teladan dan rujukan kepada institusi-institusi lain di negara ini sama ada di sektor awam ataupun swasta dalam usaha memperkukuh serta membudayakan integriti secara menyeluruh.

Sehubungan itu, Yang Berhormat turut merakamkan sokongan padunya terhadap pindaan yang dikemukakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin bagi merujuk draf Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN ini kepada satu jawatankuasa untuk diteliti dan diperhalusi dengan lebih mendalam.

Yang Berhormat dengan tegas menzahirkan sokongan berterusan Yang Berhormat terhadap prinsip-prinsip Kod Etika ini sebagaimana yang telah dihujahkan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan ll pada Khamis yang lepas dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan sebentar tadi.

Yang Berhormat juga menyeru agar Ahli-ahli Yang Berhormat untuk sama-sama memberikan sokongan kepada usul yang mulia ini termasuk pindaan yang dicadangkan sebentar tadi.