Oleh : Muhammad Aiman Najib HamzahFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Cadangan penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) disokong penuh sebagai satu langkah penting dan berpandangan jauh dalam memperkukuhkan integriti, akauntabiliti serta kewibawaan institusi berkenaan.
Dalam perbahasan mengenai usul yang dicadangkan oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Meja Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas merakamkan penghargaan atas peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut.
Yang Berhormat Awang Amran turut mengucapkan tahniah kepada Ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin yang menerajui usaha penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli-ahli MMN selaku Ahli Yang Dilantik.
Menurut Yang Berhormat, penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan bukan sekadar menghasilkan sebuah dokumen, malah merupakan satu komitmen dalam memperkukuhkan integriti, akauntabiliti dan kewibawaan institusi MMN.
“Sebagai Ahli MMN, amanah yang dipikul bukan hanya berkaitan kehadiran dalam persidangan dan menyuarakan pandangan, tetapi turut merangkumi tanggungjawab memastikan setiap tindakan, percakapan dan keputusan sentiasa berlandaskan kepentingan negara, berteraskan integriti serta menghormati martabat institusi berkenaan,” ujar Yang Berhormat semasa membahaskan usul berkenaan pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Sehubungan itu jelas Yang Berhormat, Kod Etika dilihat berperanan sebagai kompas moral dan profesional yang menyediakan panduan jelas kepada setiap Ahli MMN mengenai standard tingkah laku, tanggungjawab serta nilai yang perlu dijunjung dalam melaksanakan amanah.
Terang Yang Berhormat, Kod Etika berkenaan bukan bertujuan menyekat kebebasan Ahli-ahli Yang Berhormat dalam mengemukakan pandangan atau teguran yang membina.
Sebaliknya, ia memastikan setiap pandangan disampaikan secara berhemah dan bertanggungjawab, di samping menghormati Perlembagaan Negara Brunei Darussalam, Peraturan-peraturan Mesyuarat serta adab persidangan.
Salah satu kekuatan utama Kod Etika tersebut, jelas Yang Berhormat, ialah potensinya dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan sebenar Ahli-ahli MMN.
Dengan perkembangan teknologi dan media sosial, masyarakat kini berpeluang mengikuti persidangan perundangan dari seluruh dunia. Namun demikian, setiap negara mempunyai sistem pemerintahan, budaya perbahasan dan kerangka perundangan yang berbeza.
“Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, MMN mempunyai identiti tersendiri yang berpaksikan Perlembagaan Negara Brunei Darussalam serta falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).
“Kod Etika tersebut diharap dapat membantu masyarakat memahami bahawa setiap Ahli MMN bukan sahaja mempunyai kebebasan untuk mengemukakan pandangan, malah terikat dengan prinsip amanah, tanggungjawab dan profesionalisme,” ujar Yang Berhormat.
Dengan kefahaman yang lebih jelas mengenai peranan tersebut tambah Yang Berhormat lagi, masyarakat dapat menilai MMN berdasarkan fungsi dan tanggungjawab sebenar institusi berkenaan, tanpa membuat perbandingan secara langsung dengan amalan atau sistem negara lain.
Dalam pada itu, kepercayaan rakyat disifatkan sebagai aset paling berharga bagi mana-mana institusi awam. Kepercayaan tersebut bukan semata-mata dibina melalui keputusan yang dibuat, tetapi turut bergantung kepada keyakinan bahawa keputusan berkenaan lahir daripada proses yang telus, berintegriti dan mengutamakan kepentingan negara kata Yang Berhormat.
“Dalam konteks tersebut, Kod Etika menjadi salah satu asas penting bagi memastikan setiap Ahli MMN sentiasa bertindak secara amanah, jujur dan bertanggungjawab. Apabila rakyat melihat Ahli-ahli MMN berpegang kepada standard etika yang tinggi, keyakinan terhadap institusi tersebut diyakini akan terus diperkukuhkan.
“Kod Etika juga dilihat bukan sahaja berperanan melindungi institusi, malah turut memberikan perlindungan kepada Ahli-ahli MMN sendiri melalui garis panduan yang jelas berkaitan tanggungjawab, konflik kepentingan, penggunaan maklumat rasmi serta etika dalam menjalankan tugas,” jelas Yang Berhormat.
Garis panduan yang seragam akan membantu mengurangkan salah faham, mengelakkan persepsi yang tidak tepat serta memastikan semua Ahli MMN dinilai berdasarkan standard etika yang sama tambah Yang Berhormat.
Sehubungan itu terang Yang Berhormat lagi, penggubalan Kod Etika tersebut tidak dilihat sebagai pengenalan kepada nilai-nilai baharu, sebaliknya memperkukuhkan nilai-nilai murni yang telah sekian lama menjadi asas dalam pentadbiran negara. Walau bagaimanapun, keberkesanan Kod Etika dan Tatakelakuan tidak hanya bergantung kepada dokumen yang digubal, tetapi turut bergantung kepada komitmen setiap Ahli MMN untuk menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya.
Bagi memastikan pelaksanaannya berkesan tekan Yang Berhormat, Kod Etika berkenaan juga dicadangkan untuk disokong dengan mekanisme yang jelas, termasuk pendidikan dan latihan berterusan mengenai etika, pengisytiharan konflik kepentingan apabila diperlukan serta proses pematuhan yang telus, adil dan konsisten.
Pendekatan tersebut diyakini dapat menjadikan Kod Etika bukan sekadar dokumen rujukan, malah menjadi asas kepada pembentukan budaya kerja yang berteraskan integriti, akauntabiliti dan profesionalisme dalam kalangan Ahli MMN.
Sebagai penutup, sokongan penuh terhadap usul berkenaan ditegaskan sebagai satu langkah yang tepat dan berpandangan jauh dalam memperkukuhkan integriti, akauntabiliti dan profesionalisme Ahli-ahli MMN serta meningkatkan kewibawaan institusi berkenaan terang Yang Berhormat.
“Kod Etika dan Tatakelakuan tersebut dilihat bukan sebagai satu bentuk sekatan, tetapi sebagai panduan bagi memastikan setiap Ahli MMN terus melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, berintegriti serta sentiasa meletakkan kepentingan agama, raja dan negara mengatasi kepentingan yang lain.
“Dengan komitmen semua Ahli MMN untuk menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip berkenaan, institusi MMN diharap akan terus menjadi sebuah institusi yang dihormati, diyakini serta menjadi contoh kepada amalan tadbir urus yang baik di Negara Brunei Darussalam,” Yang Berhormat akhiri pembahasan usul.