Oleh : Muhammad Aiman Najib HamzahFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Ya'akub, Penghulu Mukim Ukong sukacita menyambut baik titah dan seterusnya menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keprihatinan dan kebijaksanaan baginda yang telah memperkenankan usaha penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli-ahli MMN.
Menurut Yang Berhormat, penggubalan Kod Etika bukan sahaja menyediakan prinsip dan panduan tatakelakuan kepada Ahli-ahli MMN, malah mencerminkan nilai budaya dan jati diri sebuah institusi perundangan negara yang berwibawa.
Keperibadian MMN, jelas Yang Berhormat bukan sahaja dinilai melalui hubungan institusi berkenaan dengan rakyat dan masyarakat di negara ini, bahkan turut mempunyai nilai dan imej tersendiri di peringkat serantau dan antarabangsa.
Setiap Ahli Yang Berhormat, kata Yang Berhormat, bukan sahaja membawa suara rakyat, malah secara tidak langsung membawa nama baik, imej dan kewibawaan Negara Brunei Darussalam apabila berinteraksi atau mewakili negara dalam pelbagai platform, persidangan dan pertemuan antarabangsa.
“Sehubungan itu, kewujudan Kod Etika dilihat mampu membentuk satu standard tatakelakuan yang mencerminkan kematangan, kesopanan, integriti dan profesionalisme Ahli-ahli MMN.
“Perkara tersebut juga selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN pada 12 Mac 2026, yang menekankan bahawa persidangan MMN bukan sekadar pertemuan tahunan tetapi merupakan wadah strategik bagi membahaskan isu-isu sebenar yang dihadapi negara dan rakyat berdasarkan penelitian mendalam serta fakta yang kukuh,” terang Yang Berhormat semasa membahaskan usul mengenai cadangan penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN yang dicadangkan oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lalilaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini, Yang Berhormat seterusnya menjelaskan peranan Ahli Yang Berhormat bukan sekadar menyuarakan pandangan, tetapi hendaklah dilaksanakan berlandaskan ilmu, fakta, penelitian dan rasa tanggungjawab terhadap kepentingan rakyat serta negara.
Kod Etika berkenaan juga dilihat berpotensi menjadi salah satu asas dalam membentuk ‘Keperibadian MMN Brunei Darussalam’ yang tersendiri, berlandaskan nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB), menghormati institusi negara, mengutamakan kepentingan rakyat serta sentiasa menjunjung nama baik Negara Brunei Darussalam, ujar Yang Berhormat lagi.
Menurut Yang Berhormat, kewibawaan sesebuah institusi bukan hanya bergantung kepada peraturan dan undang-undang yang diwujudkan tetapi turut bergantung kepada watak, sikap dan tingkah laku mereka yang menganggotainya.
Dalam pada itu jelas Yang Berhormat, penekanan Kebawah DYMM mengenai kepentingan membina budaya kerja yang bersih, beretika, berintegriti serta mempunyai tadbir urus yang cemerlang merentasi sektor kerajaan dan swasta, termasuk usaha berterusan membanteras rasuah dan salah guna kuasa, turut dilihat mempunyai kaitan rapat dengan pembangunan ekonomi negara.
Terang Yang Berhormat, etika dan integriti bukan sekadar berkaitan akhlak individu, malah merupakan sebahagian daripada asas keyakinan sesebuah negara.
Tatakelola yang baik, ketelusan, integriti serta proses membuat keputusan yang berlandaskan fakta dan kepentingan awam diyakini dapat memperkukuh keyakinan rakyat dan sektor swasta, di samping mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif bagi pelaburan, membuka peluang ekonomi dan pekerjaan serta menyokong kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Sehubungan itu, ujar Yang Berhormat, penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan tersebut tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai dokumen atau garis panduan, tetapi sebagai satu komitmen bersama dalam membentuk budaya kerja, perbahasan dan perkhidmatan yang lebih matang, berintegriti serta bertanggungjawab.
“Dengan adanya prinsip dan panduan yang jelas, setiap Ahli Yang Berhormat diharap akan sentiasa memahami bahawa kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab, kedudukan datang bersama amanah dan kewibawaan datang bersama keperibadian.
“Perbezaan pandangan, adalah sesuatu yang wajar dalam proses perbahasan, namun hendaklah disampaikan dengan adab dan hikmah. Perbahasan di dalam dewan juga perlu menjurus kepada penghasilan idea, penyelesaian dan dasar yang membawa manfaat kepada rakyat dan negara,” tekan Yang Berhormat.
Pendekatan tersebut tambah Yang Berhormat lagi, bertepatan dengan harapan Kebawah DYMM agar MMN membahaskan isu-isu strategik yang berkeutamaan serta menjadi pencetus kepada idea-idea yang bernas, pragmatik dan inovatif, di samping berganding bahu dengan Kerajaan dalam mencari penyelesaian terhadap cabaran masyarakat dan negara.
Kongsi Yang Berhormat, antara amalan yang dilihat mampu memberikan kesan positif kepada kemajuan negara termasuk berbahas berlandaskan fakta, menyampaikan teguran dengan hikmah, memelihara integriti, mengelakkan konflik kepentingan, menghormati perbezaan pandangan, menjaga kerahsiaan apabila diperlukan, tidak menyalahgunakan kedudukan serta sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan peribadi.
“Sekiranya prinsip-prinsip tersebut dapat dijadikan budaya dalam institusi MMN, ia bukan sahaja berupaya membentuk Ahli Yang Berhormat yang lebih beretika, malah turut menyumbang kepada tadbir urus yang lebih baik, dasar yang berkualiti, keyakinan ekonomi yang lebih kukuh serta pembangunan negara yang lebih mampan,” jelas Yang Berhormat.
Penerapan nilai-nilai tersebut secara konsisten juga diyakini akan terus memperkukuh kedudukan MMN sebagai sebuah institusi yang dihormati rakyat, diyakini masyarakat serta disegani di peringkat serantau dan antarabangsa terang Yang Berhormat.
Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan itu juga tambah Yang Berhormat dilihat bukan sahaja relevan dengan keperluan semasa, malah merupakan satu bentuk pelaburan institusi bagi generasi Ahli MMN pada masa akan datang.
Lebih penting, usaha berkenaan diharap bukan sekadar meninggalkan sebuah dokumen Kod Etika, tetapi turut membentuk budaya yang dapat menjadi teladan dan terus diamalkan oleh generasi Ahli MMN seterusnya tegas Yang Berhormat.
“Dengan demikian, Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli-ahli MMN diharap dapat menjadi salah satu asas dalam memperkukuh ‘Keperibadian MMN Brunei Darussalam’ sebagai sebuah institusi yang berintegriti, beradab, profesional dan berwibawa, serta sentiasa menyumbang kepada keamanan, kestabilan, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan Negara Brunei Darussalam,” ujar Yang Berhormat.