Oleh : Siti Rokiah Abdullah
Foto : Siti Rokiah, Ihsan Universiti Teknologi Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 1 Oktober. – Universiti Teknologi Brunei (UTB) menerima sumbangan sebanyak 49 buah buku daripada Kedutaan Persekutuan Rusia di Negara Brunei Darussalam (NBD) sempena pelancaran Russian Corner di Perpustakaan UTB, petang tadi.
Pelancaran berkenaan diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-35 hubungan diplomatik antara NBD dan Persekutuan Rusia yang terjalin sejak 1 Oktober 1991.
Hadir menyempurnakan majlis berkenaan, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Mikhail Vladimirovich Baranov; dan Naib Canselor UTB, Profesor Madya Pengiran Dr. Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra.
Turut hadir, wakil-wakil Kedutaan Persekutuan Rusia, pegawai-pegawai utama UTB, kakitangan universiti serta para jemputan.
Majlis telah menyaksikan ucapan alu-aluan daripada Naib Canselor UTB dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Persekutuan Rusia ke NBD yang kemudian merasmikan pelancaran Russian Corner.
Dalam ucapan alu-aluannya, Naib Canselor UTB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kedutaan Persekutuan Rusia atas kemurahan hati menyumbangkan buku serta sokongan terhadap inisiatif yang menggabungkan nilai pendidikan, kebudayaan dan persefahaman antarabangsa.
Beliau turut menekankan kepentingan memperingati ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik kedua-dua buah negara melalui inisiatif berteraskan ilmu pengetahuan dan pertukaran budaya.
Menurutnya lagi, universiti dan perpustakaan memainkan peranan penting dalam menggalakkan dialog, meluaskan perspektif serta memupuk penghargaan yang lebih mendalam dalam kalangan generasi akan datang terhadap sejarah dan kebudayaan negara lain.
Sumbangan buku berkenaan mencerminkan tanda persahabatan dan pertukaran budaya yang bermakna, manakala penubuhan Russian Corner menyediakan wadah khusus bagi warga UTB untuk mengenali Persekutuan Rusia serta mendalami kekayaan warisan sejarah dan kebudayaannya.
Koleksi buku yang disumbangkan merangkumi pelbagai bahan bacaan berkaitan sejarah, kebudayaan, kesusasteraan dan masyarakat Rusia, sekali gus membuka peluang kepada para pelajar, ahli akademik dan penyelidik untuk meluaskan perspektif serta meningkatkan penghargaan terhadap negara berkenaan.
Russian Corner berkenaan juga berperanan sebagai ruang perkongsian ilmu, penerokaan budaya dan pemupukan persefahaman, sekali gus mencerminkan peranan penting pendidikan dan pertukaran budaya dalam merapatkan hubungan antara masyarakat dan negara.
Pada 1 Oktober 1991, NBD menjalin hubungan diplomatik dengan Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR). Kedua-dua buah negara ketika itu menyatakan hasrat untuk memperkukuh hubungan demi manfaat bersama serta membangunkan kerjasama berlandaskan prinsip keamanan dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Penubuhan Russian Corner turut memperkaya koleksi antarabangsa Perpustakaan UTB, sekali gus mencerminkan komitmen universiti berkenaan dalam mewujudkan persekitaran akademik yang berwawasan global. Inisiatif berkenaan juga diharap dapat menggalakkan perkongsian ilmu dan pertukaran budaya yang mampu memupuk persefahaman serta memperkukuh hubungan antara masyarakat keda-dua buah negara.
Inisiatif berkenaan juga memperlihatkan kepentingan diplomasi pendidikan dan kebudayaan sebagai pelengkap kepada hubungan dua hala, selain membuka ruang kepada penglibatan yang lebih bermakna serta memperkukuh ikatan persahabatan antara NBD dan Persekutuan Rusia.
Perasmian Russian Corner bukan sahaja menjadi simbol Sambutan Ulang Tahun Ke-35 hubungan diplomatik antara NBD dan Persekutuan Rusia, malah turut mencerminkan semangat persahabatan dan kerjasama erat yang terus terjalin antara kedua-dua buah negara.
Dalam pada itu, bidang pendidikan dan persefahaman budaya terus memainkan peranan penting sebagai jambatan yang menghubungkan rakyat kedua-dua buah negara, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala yang berteraskan persahabatan dan kerjasama.