BSP, BSM perlu terus kekalkan prestasi, perkukuh daya tahan operasi

2 Okt 2026 - 9:04am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 1 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan akan pentingnya untuk mengekalkan prestasi yang kukuh serta meneruskan usaha-usaha penambahbaikan bagi menyokong matlamat jangka panjang Syarikat Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) dan Syarikat Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM).

Semasa berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah BSP Ke-420 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah BSM Ke-198 bagi Suku Ketiga Tahun 2026, yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM), pagi tadi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam turut bertitah menegaskan kepentingan untuk terus mengekalkan tahap keselamatan dan prestasi operasi yang tinggi. 

Dalam titah penutup, baginda juga menekankan kepentingan memperkukuhkan kerjasama dalam dan antara Syarikat-syarikat Brunei Shell Joint Venture (BSJV), termasuk memanfaatkan keupayaan, sumber dan kepakaran secara kolektif bagi meningkatkan kecekapan, memperkukuhkan daya tahan operasi serta menjana nilai yang lebih besar secara keseluruhan.

Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri di JPM (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat BSP dan Syarikat BSM.

Mesyuarat tersebut turut membincangkan perkara-perkara utama termasuk prestasi operasi dan kewangan, pembangunan tenaga manusia serta perancangan perniagaan bagi Syarikat BSP dan Syarikat BSM.

Mesyuarat tersebut juga dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia; Shell plc serta ahli-ahli kepimpinan daripada BSP dan BSM.

Mesyuarat tersebut menandakan berakhirnya sesi Mesyuarat-mesyuarat Lembaga Pengarah-pengarah Syarikat-syarikat BSJV Companies bagi Suku Ketiga Tahun 2026.