Berkenan berangkat menyaksikan Perlawanan Akhir Bola Keranjang

21 Sep 2026 - 8:40am

Oleh : Rohani Haji Abdul HamidFoto : Hernie Suliana Haji Othman

GADONG, Ahad, 20 September. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berkenan berangkat menyaksikan Perlawanan Akhir Bola Keranjang antara Pasukan Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) dan Pasukan Jerudong International School (JIS) bagi Kategori Perempuan Bawah 18 Tahun (B-18) pada Kejohanan Bola Keranjang antara Sekolah AEWON PPE Ke-4 2026, hari ini.

Berangkat sama, anakanda- anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.

Perlawanan yang berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA) itu turut menyaksikan penyertaan cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah  binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah yang mewakili Pasukan ISB.

Dalam perlawanan berkenaan, Pasukan ISB tewas kepada Pasukan JIS dengan pungutan mata 39 - 70.

Bagi meraikan para pemenang dalam kejohanan tersebut, pada sebelah malam, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat mengurniakan hadiah kepada para pemenang.

Kejohanan tersebut yang melibatkan 16 buah sekolah dianjurkan oleh BBA dengan sokongan Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan.

Juara Kejohanan Bola Keranjang antara Sekolah AEWON PPE Ke-4 2026 pada tahun ini bagi Kategori Perempuan dan Kategori Lelaki masing-masing dimenangi oleh Pasukan JIS manakala tempat kedua disandang oleh Pasukan ISB.