Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 1 Oktober. - Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seramai sembilan pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah dinaikkan pangkat ke Penolong Penguasa Polis, berkuat kuasa mulai 1 Oktober 2026.
Pegawai-pegawai yang dinaikkan pangkat terdiri daripada enam Ketua Inspektor, seorang Inspektor Kanan dan dua Inspektor.
Majlis Kenaikan Pangkat berkenaan telah berlangsung di Dewan Bankuet, Mes Ibu Pejabat Polis Gadong, dengan dihadiri oleh Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin, selaku tetamu kehormat majlis, bersama Yang Dipertua Perkumpulan Kebajikan Isteri & Keluarga Polis (PEKERTI), Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong.
Juga berangkat, Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Dato Seri Pahlawan Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris.
Turut hadir, para pengarah, timbalan pengarah dan pegawai-pegawai kanan PPDB serta ahli keluarga pegawai-pegawai yang diraikan.
Kenaikan pangkat berkenaan mencerminkan perkembangan kerjaya pegawai-pegawai berkenaan dalam perkhidmatan kepolisan, di samping membawa amanah dan skop tugas yang lebih luas dalam meneruskan khidmat kepada pasukan dan negara.