Wee Tzu Min, Leong Yi ungguli Kejohanan Ping Pong

24 Og 2026 - 5:58am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi 

Foto : Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Temburong

 

TEMBURONG, Ahad, 23 Ogos. - Wee Tzu Min dan Leong Yi masing-masing muncul juara Kategori Perseorangan Terbuka Lelaki dan Perempuan pada Kejohanan Ping Pong Daerah Temburong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80.

Wee Tzu Min dinobatkan sebagai Johan Kategori Perseorangan Terbuka Lelaki, diikuti Awang Haji Mohd. Ashraf Haji Makmor selaku Naib Johan, manakala tempat ketiga bersama disandang Awang Mohd. Rapaie Bagol dan Reynold @ Daniel Chin.

Dalam Kategori Perseorangan Terbuka Perempuan, Leong Yi muncul juara, diikuti Lim Xing Yee sebagai Naib Johan. Tempat ketiga bersama pula diraih Hong Hui Qin dan Hong Rou Qin.

Kejohanan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Sultan Hassan, Batu Apoi, di sini, juga menyaksikan pemenang bagi Kategori Perseorangan Junior Lelaki menjadi milik Adrian Darwish Wee bin Md. Hazwan Wee, manakala Kategori Perseorangan Junior Perempuan pula dimenangi Wong Yue Yee.

Sementara itu, Adrian Darwish Wee bin Md. Hazwan Wee mengungguli Kategori Perseorangan Junior Lelaki, sekali gus menempatkan Awang Mohd. Taufiq Husnain bin Haji Abdul Muiz sebagai naib johan. Awang Muhd. Asyi Razi Aimi bin Muhd. Ruzaimin dan Awang Muhd. Zaid Teo bin Muhd. Zakwan Teo masing-masing pemenang tempat ketiga bersama.

Sementara bagi Kategori Perseorangan Junior Perempuan, Wong Yue Yee muncul Johan, manakala Dayangku Nur Delisha Damia binti Pengiran Md. Sufian sebagai Naib Johan. Tempat ketiga bersama dimenangi Dayangku Nur Delisha Elyana Darwisyah binti Pengiran Md. Sufian dan Dayang Nur Syasya Farzanah binti Abdullah.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar, selaku Pengerusi Jawatankuasa Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-80 Peringkat Daerah Temburong.

Seramai 42 peserta menyertai kejohanan yang mempertandingkan empat kategori, iaitu Kategori Perseorangan Terbuka Lelaki, Kategori Perseorangan Terbuka Perempuan, Kategori Perseorangan Junior Lelaki Bawah Umur 19 Tahun dan Kategori Perseorangan Junior Perempuan Bawah Umur 19 Tahun.

Kejohanan sehari itu merupakan anjuran Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Temburong dengan kerjasama Persatuan Ping Pong Brunei Darussalam serta sokongan Jabatan Daerah Temburong.

Penganjuran kejohanan berkenaan bukan sahaja memeriahkan lagi sambutan perayaan, malah menjadi wadah untuk menggalakkan penglibatan masyarakat dalam sukan ping pong, di samping mencungkil dan mengembangkan bakat-bakat baharu, khususnya dalam kalangan generasi muda di Daerah Temburong.

Usaha berterusan sedemikian diharap dapat menyemarakkan lagi minat masyarakat terhadap sukan ping pong serta memberi ruang kepada bakat-bakat muda untuk terus diasah dan diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.