Kunjungan hormat buka ruang perbincangan hal ehwal Islam

13 Okt 2026 - 8:20am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Mufti Kerajaan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 12 Oktober. - Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned telah menerima kunjungan hormat daripada rombongan delegasi yang diketuai oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Tuan Zaqy Mohamad.

Kunjungan berkenaan berlangsung di Darulifta' Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan (JMK).

Juga menyertai kunjungan berkenaan, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Kadir Maideen Mohamed; Pembantu Khas kepada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Islam, Alfi Sohfian; Penolong Pengarah, Penglibatan Awam dan Pendidikan, Pembangunan Dasar Keagamaan, Kamaruzaman Afandi; Ketua Rangkaian Antarabangsa, Bahagian Halal, Sharifuddin Mohd. Ali; Pengurus Hubungan Antarabangsa, Penglibatan dan Perkongsian, Nur Hazwani Suryani; Pembantu Menteri (PSO), Mohamad Faizal bin Hussin; Pembantu Menteri (PSO), Tan Chee Keong (Chen ZhiQiang).

Turut serta dalam kunjungan berkenaan, Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Yip Wei Kiat; dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke NBD, Mr Guo Weimin.

Semasa kunjungan berkenaan, Yang Berhormat Mufti Kerajaan dan rombongan Republik Singapura telah membincangkan hal ehwal Islam.

Mengakhiri kunjungan berkenaan, para rombongan dari Republik Singapura dibawa melawat ke Perpustakaan Islam Brunei Darussalam (PIB).

Rombongan berkenaan berada di negara ini dalam rangka lawatan pengenalan selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Oktober 2026 dan seterusnya akan menyaksikan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) Pengiktirafan Pensijilan Halal dan bidang-bidang kerjasama antara Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan MUIS.