Tingkatkan pengetahuan, kemahiran asas Beyblade

3 Okt 2026 - 6:48am

Berita dan Foto : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

TUTONG, Jumaat, 2 Oktober. - Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Tutong dengan kerjasama BGB Team Brunei Darussalam mengadakan Bengkel Beyblade Beginner yang berlangsung di Pusat Belia Tutong, petang tadi. Seramai 25 peserta menyertai bengkel yang diadakan selama sehari.

Antara lain tujuan bengkel diadakan bagi memperkenalkan asas permainan Beyblade kepada peserta baharu dan peminat yang berumur dari 10 hingga 18 tahun yang ingin mendalami permainan berkenaan.

Bengkel tersebut memberi tumpuan kepada pengenalan asas mekanik Beyblade, termasuk cara memasang dan menyesuaikan Beyblade, teknik pelancaran yang betul serta asas strategi dan taktik dalam pertempuran.

Para peserta turut didedahkan kepada kaedah penyediaan dan penalaan Beyblade bagi membantu mereka memahami fungsi komponen serta meningkatkan kemahiran permainan.

Selain aspek teknikal, bengkel tersebut turut memberikan panduan mengenai strategi pertempuran dan cara menggunakan teknik yang sesuai ketika berhadapan dengan lawan.

Program berkenaan menyasarkan khususnya peserta baharu dan mereka yang masih di peringkat permulaan dalam permainan Beyblade, di samping menyediakan ruang untuk golongan belia mengenali komuniti dan aktiviti berkaitan permainan tersebut.

Dengan adanya bengkel berkenan diharap akan dapat memberi peluang kepada para peserta untuk mempelajari kemahiran asas Beyblade dalam suasana pembelajaran yang interaktif dan santai.

Aktiviti ini juga dapat memupuk semangat persaingan yang sihat, kerjasama serta mengeratkan hubungan antara peserta melalui aktiviti yang menyeronokkan dan interaktif.