Sokongan, disiplin kunci kejayaan

22 Og 2026 - 7:41am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Azmah Haji Ahad

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 21 Ogos. - Semangat kental dan disiplin tinggi membuahkan hasil apabila atlet Pasukan Taekwondo negara berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam Temasya Sukan Malaysia XXII (SUKMA) yang berlangsung di Selangor, Malaysia baru-baru ini.

Kejayaan Awang Muhammad Alwi Naqiuddin bin Md. Nordi bukan sahaja menjadi kebanggaan buat pasukan, malah membuktikan kesungguhan atlet dalam mengharumkan nama pasukan di pentas pertandingan.

Awang Muhammad Alwi Naqiuddin ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan gembira dengan pencapaiannya. “Alhamdulillah, meskipun meraih pingat gangsa, ia sangat bermakna bagi saya kerana ia adalah hasil daripada latihan, usaha dan pengorbanan yang dilakukan sepanjang persediaan untuk SUKMA ini," ujarnya.

Menurutnya, pingat ini sangat bermakna kerana ia membuktikan bahawa segala usaha dan pengorbanan selama ini tidak sia-sia di samping ia juga menjadi motivasi untuknya terus berlatih dan berusaha mendapatkan pencapaian yang lebih baik pada masa akan datang.

Ketika ditanya mengenai persediaannya sebelum bertanding, beliau menjelaskan, persediaan banyak tertumpu kepada latihan fizikal, teknik, ‘sparring’ dan juga persediaan mental termasuk menjaga disiplin latihan, pemakanan dan rehat agar dapat memberikan prestasi terbaik apabila turun bertanding.

Beliau turut mengongsikan antara cabaran utama yang dihadapinya adalah dari segi mental dan fizikal kerana setiap lawan mempunyai kekuatan dan gaya permainan yang berbeza. Selain itu tambahnya, tekanan pertandingan juga perlu dikawal agar kekal fokus dan tidak mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling.

Baginya, strategi atau teknik yang paling membantu dalam pertandingan adalah menjaga jarak dengan lawan, membaca pergerakan mereka dan mengambil peluang untuk melakukan serangan balas dan paling penting ialah mendengar arahan jurulatih serta menyesuaikan strategi mengikut keadaan dalam gelanggang.

“Bagi pertandingan atau kejohanan yang akan datang tambahnya, sasaran saya akan untuk terus meningkatkan prestasi, memperbaiki kelemahan dan InsyaaAllah, memburu pingat emas dalam kejohanan yang akan datang. Saya tidak mahu berhenti setakat ini," ujarnya.

Beliau juga menasihatkan kepada yang berminat untuk menceburi Sukan Taekwondo, agar tidak takut untuk mencuba kerana Taekwondo bukan sahaja mengajar kita cara bertanding, tetapi juga disiplin, keyakinan diri, kesabaran dan semangat tidak mudah berputus asa. Yang paling utama katanya, teruskan latihan dan sentiasa hormat kepada jurulatih serta rakan-rakan.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada jurulatih atas segala tunjuk ajar, pengorbanan dan kesabaran dalam membimbingnya, begitu juga kepada kedua ibubapa yang mana selama ini memberi dorongan, sokongan, semangat dan doa yang tidak pernah putus.

Tambahnya, ucapan terima kasih juga kepada rakan-rakan sepasukan, dan semua yang sentiasa memberikan sokongan, doa dan semangat. Pingat ini bukan hasil usahanya seorang, tetapi hasil sokongan semua pihak.

Beliau turut menaruh impian terbesar untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dalam Taekwondo untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa dan membawa pulang pingat untuk Negara Brunei Darussalam. Selain itu, beliau berharap suatu hari nanti dapat menjadi contoh dan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menceburi Sukan Taekwondo.