Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Ihsan Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama Brunei IV
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 2 Ogos. - Semangat kesukanan dan kekitaan dalam kalangan warga pendidik sekolah-sekolah ugama di Kawasan Brunei IV disemarakkan menerusi Pertandingan Tenpin Boling Brunei IV yang berlangsung di iBowl Utama, di sini.
Pertandingan yang juga menjadi platform mencetuskan semangat kesukanan, kerjasama dan kekitaan dalam kalangan warga pendidik sekolah-sekolah ugama di Kawasan Brunei IV itu menyaksikan Kumpulan Bahulu tampil cemerlang apabila berjaya mengungguli pertandingan dengan mencatat 976 jatuhan pin bagi Kategori Lelaki Berkumpulan.
Kumpulan juara itu dianggotai oleh Awang Haji Harun bin Haji Zakaria, Awang Ahmad Al-Hadee bin Haji Sabtu, Pengiran Jaya Shah Yusraini bin Pengiran Haji Zaini dan Awang Erwandy bin Haji Md. Yamin.
Tempat kedua disandang oleh Kumpulan Tapai dengan 793 jatuhan pin, manakala Kumpulan Kusui berada tempat ketiga dengan 756 jatuhan pin.
Sementara itu, persaingan Kategori Perempuan Berkumpulan pula menyaksikan Kumpulan Ardam yang terdiri daripada Dayang Masqueeni binti Haji Besar, Dayang Hajah Norazemah binti Haji Jait, Dayang Hajah Mu’izzah binti Kefli dan Dayang Hajah Meryana binti Haji Muhammad muncul juara apabila memintas lima pasukan lain dengan 707 jatuhan pin.
Kumpulan Puteri Mandi meraih naib juara dengan 636 jatuhan pin, diikuti Kumpulan Putu Mayang di tempat ketiga hanya mampu dengan 602 jatuhan pin.
Hadir selaku tetamu khas pada pertandingan tersebut ialah Pegawai Pengajian Islam Daerah / Kawasan Brunei IV, Dayang Hajah Mu’izzah binti Kefli yang juga menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Pertandingan anjuran Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama Brunei IV (JKPSSUBRIV) itu disertai seramai 12 pasukan sekali gus turut menyemarakkan suasana riadah dalam kalangan guru-guru ugama menerusi aktiviti yang santai, sihat dan penuh kemesraan.
Selain itu, pertandingan tersebut merupakan antara aktiviti yang dirancang dalam Rancangan Tahunan JKPSSUBRIV bagi Tahun 2026, dan turut diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80.
Ia juga bertujuan menyediakan ruang riadah yang sihat dan berfaedah, meningkatkan motivasi serta kesejahteraan warga guru, di samping menggalakkan penglibatan aktif mereka dalam pelbagai program anjuran JKPSSUBRIV.
Penganjuran pertandingan seumpama ini membuktikan bahawa aktiviti riadah mampu menjadi jambatan yang menyatukan warga pendidik dan bukan sahaja dalam mengejar kecemerlangan, tetapi juga dalam membina ukhuwah, memperkukuh kerjasama serta menyemarakkan semangat kekitaan dalam kalangan mereka.