Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Badan Sukan RTB
SABAH, Jumaat, 21 Ogos. - Sukan Pickleball yang kini mula hangat mendapat tempat di Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Sabah, terus memperlihatkan perkembangan positif apabila Pasukan Badan Sukan RTB (NBD) dan Pasukan Pickleball Paddle Haus (Sabah) bertemu dalam satu perlawanan persahabatan di APT Pickle Kota Kinabalu, Sabah.
Program itu turut menjadi sebahagian daripada aktiviti cuti sekolah yang sihat dan menyeronokkan untuk semua lapisan umur.
Lebih 20 peserta dari RTB Media dan 20 peserta dari Paddle Haus hadir dengan semangat kesukanan yang tinggi, lengkap dengan jersi pasukan masing-masing. Aksi pantas, kerjasama berpasukan serta suasana ceria jelas terpancar sepanjang perlawanan.
Kehadiran pemain berserta ahli keluarga sempena cuti sekolah menambahkan lagi kemeriahan, sekali gus menunjukkan bagaimana Pickleball semakin dekat di hati keluarga dan komuniti tempatan.
Selain perlawanan, sesi berkongsi teknik, perbincangan santai dan aktiviti sosial turut mengeratkan hubungan antara dua komuniti Pickleball serantau. Program itu bukan sahaja mengukuhkan persahabatan antara NBD dan Sabah, tetapi juga memupuk minat baharu terhadap sukan berkenaan yang kini sedang meningkat popularitinya.Kedua-dua pasukan berharap kerjasama dan pertemuan seumpama ini dapat dijadikan acara tahunan bagi terus mempromosikan Pickleball sebagai sukan komuniti yang aktif, inklusif dan sesuai untuk semua peringkat umur.