Oleh : Muhammad Aiman Najib Hamzah
Foto : Hernie Suliana Haji Othman, Ihsan Next Play Company
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 23 Ogos. - Peminat bola sepak tanah air berpeluang menyaksikan aksi menarik para pemain lagenda daripada tiga buah negara menerusi Elite Majestic Cup 2026, yang mempertemukan pemain 'legend' dari Negara Brunei Darussalam (NBD), Malaysia dan Republik Indonesia yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas baru-baru ini.
Hadir menyaksikan kejohanan berkenaan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, selaku tetamu kehormat majlis.
Juga hadir, Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke NBD, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd. Aini Atan dan isteri; serta Duta Besar Republik Indonesia ke NBD, Tuan Yang Terutama Profesor. Dr. Achmad Ubaedillah.
Kejohanan berkenaan adalah anjuran Next Play Company dan ia merupakan julung kalinya diadakan di negara ini.
Menurut penganjur acara, Awang Haji Mohammad Waddi Aleyamin bin Haji Ibrahim, tujuan acara Elite Majestic Cup 2026 adalah mengetengahkan perlawanan persahabatan yang menghimpunkan para pemain berpengalaman dan lagenda bola sepak daripada ketiga-tiga negara, sekali gus menjadi platform bagi mengeratkan hubungan serta persahabatan melalui sukan bola sepak.
Perlawanan persahabatan tiga negara berkenaan mempunyai konsep yang berbeza, dan perlawanan beraksi pada satu malam mengikut format futsal.
Pembuka tirai perlawanan menyaksikan NBD menentang Malaysia, kemudian NBD menentang Republik Indonesia disusuli Malaysia menentang Republik Indonesia bagi perlawanan terakhir bagi penentuan merebut piala kejohanan.
Pasukan Malaysia telah menjuarai kejohanan berkenaan sekali gus membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai berjumlah BND8,000 setelah berjaya menewaskan pasukan NBD dan pasukan Republik Indonesia. Manakala naib juara disandangkan oleh pasukan dari Republik Indonesia dan pasukan NBD berada di tempat ketiga.
Penyampaian hadiah kepada para pasukan disempurnakan olah tetamu kehormat majlis.
Penganjuran Elite Majestic Cup 2026 diharap dapat memberikan pengalaman istimewa kepada para peminat bola sepak, khususnya dalam menyaksikan semula aksi para pemain berpengalaman yang pernah mewarnai arena bola sepak negara masing-masing.
Diharapkan acara Elite Majestic Cup berkenaan akan dapat dilaratkan dan dibuat di luar negara, menjadikannya sebagai acara tahunan serta ingin menjemput negara Asean pada masa akan datang.
Semoga kejohanan kali ini dapat mengetengahkan sukan bola sepak sebagai wadah untuk memperkukuh hubungan dan semangat persahabatan antara NBD, Malaysia dan Republik Indonesia.