Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Isnin, 12 Oktober. - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBS) hari ini mengadakan Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) yang akan menyertai Sukan Para Asia ke-5, Aichi-Nagoya, Jepun 2026.
Majlis berlangsung di Bilik Simpur, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyerahan Bendera Negara ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Awang Haji Ahmad Yaardy bin Haji Abdul Karim.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Setiausaha Tetap KKBS, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman selaku Pengerusi Majlis.
Kemuncak majlis menyaksikan penyerahan Bendera NBD oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada Awang Ali Yusri bin Abdul Ghafor selaku Chef de Mission Kontinjen NBD ke Sukan Para Asia Ke-5, Aichi-Nagoya, Jepun 2026.
Sukan Para Asia Ke-5, Aichi-Nagoya, Jepun 2026 akan berlangsung secara rasmi pada 18 hingga 24 Oktober 2026.
NBD akan diwakili oleh seramai lima orang ahli kontinjen, terdiri daripada seorang atlet Para Badminton dan empat orang pegawai, iaitu Chef de Mission, Ketua Urus Setia, ahli fisioterapi dan jurulatih Para Badminton.
Kontinjen NBD dijadualkan bertolak ke Aichi-Nagoya, Jepun pada Selasa, 13 Oktober 2026.
Sukan Para Asia merupakan temasya sukan utama di peringkat Asia bagi atlet kurang upaya.
Temasya berkenaan mempunyai sejarah yang berkait rapat dengan Far East and South Pacific Games for the Disabled (FESPIC Games) sebelum berkembang menjadi Sukan Para Asia.
NBD mula menyertai temasya berkenaan melalui Sukan FESPIC Ke-4 yang diadakan di Indonesia pada tahun 1986.
Penyertaan terakhir NBD dalam Sukan Para Asia adalah pada edisi ketiga yang berlangsung di Jakarta, Republik Indonesia pada tahun 2018.
Penyertaan NBD ke Sukan Para Asia Ke-5 mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memberikan peluang dan sokongan kepada atlet para untuk bersaing di peringkat antarabangsa, di samping memperkasa pembangunan sukan para dan membudayakan kecemerlangan dalam kalangan atlet negara.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke NBD, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap KKBS; Ahli-Ahli Jawatankuasa Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan; Ahli-Ahli Jawatankuasa Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; wakil Majlis Paralimpik Kebangsaan Brunei Darussalam; pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan KKBS; serta keluarga atlet.