Pasukan Daerah Tutong tewaskan MS ABDB 2 - 1

5 Nov 2026 - 5:39am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

TUTONG, Rabu, 4 November. - Saingan dalam temasya Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Ke-V, Tahun 2026 bagi acara bola sepak diteruskan lagi pada malam kelmarin dengan menyaksikan perlawanan menarik antara Pasukan Daerah Tutong dan Pasukan MS ABDB.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Tutong tersebut berkesudahan dengan menyaksikan kemenangan berpihak kepada Pasukan Daerah Tutong dengan keputusan akhir 2-1.

Kedua-dua jaringan Pasukan Daerah Tutong dihasilkan pada separuh masa pertama perlawanan iaitu pada minit ke-15 dan ke-21 menerusi pemain penyerangnya, Onyedikashukwu Martins.

Tersentak dengan kedua jaringan tersebut, Pasukan MS ABDB tidak menunggu lama untuk mengatur serangan balas sehinggalah jaringan tunggal Pasukan MS ABDB berjaya dihasilkan pada minit ke-24 menerusi SLD Md. Abu Bakar Ash-shiddiq bin Awang Mahmud menjadikan kedudukan kepada 2-1.

Setelah gol tersebut dua-dua pasukan saling berbalas serangan ke kubu pertahanan masing-masing sehinggalah pengadil meniupkan wisel penamat di babak pertama perlawanan.

Memasuki separuh masa kedua perlawanan, pasukan tuan rumah, Pasukan Daerah Tutong dilihat lebih agresif melakukan serangan dan hampir berjaya menjaringkan beberapa gol tambahan namun berhasil ditepis oleh penjaga gawang Pasukan MS ABDB sehinggalah berakhirnya perlawanan berlangsung.

Acara sukan bola sepak merupakan salah satu acara daripada 10 acara yang dipertandingkan pada temasya SKBD kali ini yang diharapkan dapat menjadi platform pertandingan yang kompetitif, memperkukuh semangat kesukanan dan perpaduan serta melahirkan para atlet berpotensi untuk mewakili Negara Brunei Darussalam di kejohanan serantau dan antarabangsa di samping dihasrat dapat dijadikan sebagai wadah bagi menghimpunkan atlet-atlet dari seluruh negara untuk bersaing dalam acara sukan yang dipertandingkan.