Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
JERUDONG, Ahad, 8 November. - Negara Brunei Darussalam (NBD) menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Golf Persahabatan Bekas Duta-Duta ASEAN (FAAFGT) Kali Ke-3, yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Kejohanan berkenaan berlangsung di dua lokasi, iaitu The Empire Brunei dan Royal Brunei Golf and Country Club (RBGCC).
Menyertai kejohanan tersebut ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Kejohanan tahun ini menghimpunkan 113 peserta, terdiri daripada 71 bekas Duta ASEAN dan 42 ahli perniagaan dari NBD, Republik Indonesia, Malaysia, Thailand dan Republik Sosialis Viet Nam.
FAAFGT kali pertama dianjurkan di Bangkok, Thailand, diikuti dengan FAAFGT kedua yang diadakan di Ha Long Bay, Republik Sosialis Viet Nam pada penghujung tahun lalu.
Kejohanan tersebut menghimpunkan rakan-rakan diplomatik yang pernah berkhidmat bersama di pelbagai penempatan luar negara sepanjang kerjaya mereka. Ia juga memberi peluang kepada mereka untuk berhubung semula, berkongsi cerita dan pengalaman selepas bersara, serta menikmati minat yang sama terhadap sukan golf.
Golf merupakan sukan yang popular di seluruh rantau ASEAN. Memandangkan NBD sedang bersiap sedia untuk melancarkan Tahun Melawat Brunei 2027, FAAFGT sebagai satu acara pelancongan berasaskan aktiviti diharapkan dapat membantu meningkatkan kesedaran dan publisiti bagi kempen tersebut.
Kejohanan ini dianjurkan secara pembiayaan kendiri, dengan sokongan dan sumbangan daripada Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Sarawak Trade and Tourism Office in Brunei (STATOB), Adinin Works and Engineering Sdn. Bhd., New Temburong Quarry (NTQ) Sdn. Bhd., Brunei Tourism, serta beberapa individu persendirian.
Dalam pada itu, Republik Indonesia akan menjadi tuan rumah bagi FAAFGT pada tahun 2027.