Siaran Akhbar dan Foto : Urus Setia Majlis Kesejahteraan Masyarakat
TEMBURONG, Ahad, 8 November. - Seramai 27 peserta yang terdiri daripada para pelajar Sekolah Rendah Rataie yang kurang berkemampuan dan menerima tajaan makan tengah hari dari Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) telah menyertai Klinik Bola Sepak Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang diadakan di Kompleks Sukan Temburong, Jabatan Belia dan Sukan, Daerah Temburong.
Selain itu, seramai 18 pelajar dari Sekolah Sukan juga turut menyertai klinik berkenaan.
Klinik tersebut dianjurkan oleh Singapore Association (SA) di Negara Brunei Darussalam (NBD) dengan sokongan Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura ke negara ini.
Klinik Bola Sepak berkenaan dikendalikan oleh pemain bola sepak legenda dari Republik Singapura, Fandi Ahmad.
Ia bertujuan untuk memberi inspirasi kepada golongan muda melalui sukan bola sepak, selain memupuk semangat kesukanan, serta menyediakan peluang bagi persatuan tersebut untuk menyumbang kembali kepada masyarakat tempatan.
Pada masa yang sama, ia bertujuan untuk memperkukuh persahabatan yang telah lama terjalin serta hubungan antara rakyat Republik Singapura dan NBD.
Bekas kapten pasukan kebangsaan Republik Singapura, Fandi Ahmad, merupakan pemain bola sepak Republik Singapura pertama yang beraksi secara profesional di Eropah, dengan mewakili kelab FC Groningen di Belanda.