Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 23 Ogos. - Seramai lebih 40 pemain yang terdiri daripada bekas penuntut Sekolah Persediaan Inggeris (Brunei Preparatory School - BPS) dan Maktab Sultan Omar 'Ali Saifuddien (SOASC) telah menyertai Perlawanan Bowling sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026 yang diadakan petang tadi di Utama Bowling Centre, Batu Satu, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang, Pengarah Perancangan dan Pengurusan Estet, Kementerian Pendidikan, Dayang Hajah Mastura binti Haji Sulaiman.
Pertandingan berkenaan menyaksikan pasukan 3 Budak Sekolah Escape Ke Tasek menyandang juara bagi Kategori Berpasukan Lelaki dengan markah 1,631 jatuhan pin, manakala pasukan An Nas pula muncul juara bagi Kategori Berpasukan Perempuan dengan markah sebanyak 1,382 jatuhan pin.
Sementara juara bagi Kategori Perseorangan Lelaki pula dimenangi oleh Awang Abdul Salam bin Rajab dengan 642 jatuhan pin, manakala Kategori Perseorangan Perempuan dimenangi oleh Dayang Hajah Mastura binti Haji Sulaiman dengan 452 jatuhan pin.
Antara tujuan pertandingan berkenaan diadakan adalah untuk mengasah bakat dalam kalangan ahli kelab, memupuk interaksi sihat melalui sukan boling, serta memberi peluang untuk berkenalan dan berinteraksi secara tidak formal dengan wakil daripada pihak kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).