Oleh : Muhammad Ali Norhadi Abdullah Mohammad NohFoto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Sabtu, 25 Julai. - Kontinjen pencak silat yang diwakili daripada pelajar Sekolah Sukan, Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi menyertai Kejohanan The 27th Thailand Sports School Games (Nakhonseekhwae Games) di Nakhon Sawan Sports School, Wilayah Nakhon Sawan Thailand yang bermula dari 15 hingga 24 Julai 2026, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), petang tadi.
Dalam kejohanan tersebut, Kontinjen Sekolah Sukan NBD telah melakar kejayaan dengan meraih satu pingat emas dan dua pingat perak bagi acara pencak silat.
Atlet pelajar pencak silat telah berjaya mengharumkan nama negara apabila mempamerkan prestasi cemerlang dalam kejohanan yang disertai sekali gus mencerminkan potensi besar generasi dalam pelapis sukan negara. Penyertaan dalam kejohanan ini turut membuktikan kesungguhan kontinjen pencak silat dalam mengangkat sukan pencak silat di peringkat antarabangsa.
Hadir di LTAB bagi menyambut ketibaan kontinjen tersebut ialah Pengetua Sekolah Sukan, Awang Alexandar bin Bandang dan Timbalan Pengetua (Sukan) Sekolah Sukan, Awang Haji Mohd. Azrin bin Haji Aji serta ahli keluarga kontinjen.
Antara atlet yang menggalas cabaran negara ialah Awang Muhammad Ra’id Naim bin Muhammad Syamsuddin, yang bertanding dalam Acara Tanding Lelaki (Kategori Dewasa Bawah 18 Tahun - Kelas ‘B’). Beliau mempamerkan semangat juang yang tinggi serta disiplin yang sangat cemerlang sepanjang pertandingan tersebut sekali gus merangkul pingat emas dan dianugerahkan Atlet Terbaik Kategori Dewasa Pencak Silat.
Kejayaan tersebut merupakan satu pencapaian bersejarah bagi Sekolah Sukan sebagai pingat emas pertama dalam sukan pencak silat sepanjang penyertaan sekolah berkenaan dalam Kejohanan Sukan Sekolah Sukan Thailand.
Sementara itu, Awang Muhammad Asyraf Syafiee bin Norazrin, yang beraksi dalam Acara Tanding Lelaki (Kategori Remaja Bawah 16 Tahun - Kelas ‘C’) berjaya meraih pingat perak. Prestasi dan keyakinan beliau jelas menampakkan peningkatan yang lebih baik berbanding penyertaan beliau dalam kejohanan sukan yang sama pada tahun lepas yang meraih satu pingat gangsa.
Manakala Dayang Nur Hidayatul Najwa binti Asrizal mewakili negara dalam Acara Tunggal Wanita Remaja (Bawah 16 Tahun) turut menyumbangkan pingat perak dengan nilai persembahan 9.887 pada pusingan akhir, dengan jurang markah hanya 0.007 di belakang juara kategori berkenaan.
Pasukan Pencak Silat Sekolah Sukan telah diketuai oleh Awang Haji Muhd Ishak bin Haji Abu Bakar selaku Jurulatih Pencak Silat. Kontinjen negara turut disertai oleh Pegawai Kesejahteraan Sekolah Sukan, Dayang Dhia Syuhada binti Abdul Rahman Ambol selaku Pengurus Pasukan.
Pencapaian kontinjen pencak silat ini bukan sahaja menjadi kebanggaan negara, malah menjadi inspirasi kepada generasi belia untuk terus menceburi bidang sukan dan berusaha bagi mencapai kecemerlangan di persada antarabangsa.
Kejayaan tersebut juga mencerminkan hasil usaha berterusan daripada bimbingan jurulatih sekolah berkenaan, suntikan semangat daripada keluarga serta pihak berkepentingan dalam membangunkan sukan pencak silat di NBD.