Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Sabtu, 25 Julai. - Brunei Aquatics dengan kerjasama Blue Whale Water Safety telah melancarkan Kempen ‘Every Child, Water Ready’ hari ini. Pelancaran ini berlangsung di Dewan Kuliah, Pusat Komuniti, Stadium Negara Hassanal Bolkiah dan bertepatan dengan Hari Pencegahan Lemas Sedunia.
Kempen ini mengajar kemahiran asas keselamatan dan kelangsungan hidup dalam air kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 8 tahun. Lemas adalah salah satu punca utama kematian akibat kecederaan tidak sengaja dalam kalangan kanak-kanak. Program ini bertujuan untuk mengurangkan risiko tersebut sambil membina keyakinan fizikal, literasi akuatik dan kesedaran tentang bahaya di air.
Kempen ini menggunakan rangka kerja Blue Whale Water Safety, yang dibina berdasarkan empat langkah: berhenti seketika, bertenang, memerhati, dan bertindak balas. Kanak-kanak diajar untuk mengenal pasti bahaya dan mengendalikan detik-detik awal kecemasan di air sebelum mereka memasuki kolam. Persiapan ini menjadi asas kepada Program Discover Water anjuran World Aquatics, yang memperkenalkan kemahiran renang fizikal kepada kanak-kanak apabila mereka mampu berfikir dengan jelas dalam situasi di bawah tekanan.
Kempen ini mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam, yang akan menyelaraskan pelaksanaannya bersama Jabatan Sekolah-Sekolah, Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan Bahagian Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar. Seramai 25 guru daripada 13 sekolah di seluruh Brunei telah menamatkan program latihan dua hari yang dikendalikan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Blue Whale Water Safety, Nari Shin serta Penulis Buku ‘Marie and the Blue Whale’. Guru-guru ini kini melaksanakan kurikulum keselamatan air berasaskan kognitif di sekolah masing-masing, sekali gus memastikan kesinambungan program ini melangkaui acara pelancaran itu sendiri.
Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam turut menyatakan sokongan mereka. Pelancaran ini selaras dengan Garis Panduan WHO 2017, ‘Preventing Drowning: An Implementation Guide’ dan Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) A/RES/75/273 mengenai pencegahan kejadian lemas pada peringkat global.
Justeru itu, Kementerian Kesihatan diwakili oleh Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif dan seterusnya melancarkan majlis berkenaan.
Sementara itu, Honorary Secretary of Brunei Aquatics and Country Lead for the World Aquatics Discover Water Programme di Brunei, Ang Beng Siong menyatakan kebanyakan kanak-kanak yang lemas tidak sempat berfikir. Rasa panik menguasai mereka sebelum keupayaan berenang mereka dapat digunakan.
“Program ‘Every Child, Water Ready’ mengajar kanak-kanak tentang tindakan yang perlu diambil pada detik-detik awal tersebut, malah sebelum mereka dimasukkan ke dalam air.
“Dengan sokongan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan terhadap kempen ini, kita kini dapat menyediakan lapisan keselamatan ini kepada kanak-kanak di seluruh Brunei, melangkaui mereka yang telah pun mengikuti kelas renang,” ujar beliau lagi.
Pada majlis pelancaran ini, Sijil Keselamatan Air akan disampaikan kepada para pendidik sekolah oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-Sekolah, Awang Mohammad Danny bin Aimi.
Sijil Brunei Aquatics pula disampaikan kepada jurulatih dan pengajar renang oleh Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim.