Kejohanan bola jaring sempena Festival Irau Tupeh Padey 2026

1 Og 2026 - 8:00am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

BERAKAS, Jumaat, 31 Julai. - Persatuan Lun Bawang Murut Brunei (PLBMB) pagi tadi menganjurkan Kejohanan Bola Jaring Kali-3 bersempena Festival Irau Tupeh Padey 2026 yang mengambil tempat di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah. 

Sebanyak sembilan pasukan mengikut zon masing-masing telah bertanding dalam dua kategori berasingan iaitu Kategori Terbuka (sebanyak tujuh pasukan) dan Kategori Veteran (dua pasukan sahaja). 

Juara bagi Kategori Terbuka disandang oleh pasukan Gituen dari Zon 4, sementara naib johan dimenangi oleh pasukan Beret dari Zon 5B, dan tempat ketiga jatuh kepada pasukan Utap dari Zon 2A.

Manakala juara dan naib juara bagi Kategori Veteran masing-masing disandang oleh pasukan Aul dari Zon 1, dan pasukan Bane dari Zon 5. 

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Timbalan Yang Dipertua PLBMB, Dayang Mariam binti Ulat. 

Antara tujuan dan matlamat penganjuran ialah mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan ahli PLBMB serta komuniti Murut melalui aktiviti sukan, selain menggalakkan lebih ramai ahli, khususnya golongan belia, untuk melibatkan diri secara aktif dalam bidang sukan. 

Di samping itu, ia juga bagi memupuk nilai-nilai murni seperti disiplin, hormat-menghormati, kerjasama dan semangat berpasukan serta menyemai persahabatan dan kerjasama dalam kalangan peserta. 

Penganjuran aktiviti seumpama ini juga turut menyokong usaha pembangunan sukan sebagai salah satu pengisian Festival Irau Tupeh Padey sepanjang tahun 2026.