Berita : Ihsan Zahin At-Taher
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 September. - Program HSJ Family Futsal yang berlangsung di Scoren Enterprise bukan sahaja menjadi medan bagi ahli keluarga mengisi masa lapang menerusi aktiviti sukan dan riadah, malah turut menjadi wadah dalam mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat kekeluargaan.
Program berkenaan menyaksikan penyertaan empat kumpulan yang masing-masing tampil dengan warna dan nama pasukan tersendiri, iaitu Abyadh (jersi Putih), Azraq (jersi Biru), Aswad (jersi Hitam) dan Ahmar (jersi Merah).
Dalam perlawanan tersebut, pasukan Abyadh muncul sebagai juara selepas mempamerkan aksi bertenaga, kemas dan penuh semangat sepanjang perlawanan.
Selain menguji kemahiran serta kecergasan para peserta, program berkenaan turut memberi peluang kepada ahli keluarga untuk meluangkan masa bersama dalam suasana santai dan penuh kemesraan.
Penganjuran aktiviti seperti itu diharap dapat diteruskan dari semasa ke semasa sebagai salah satu usaha menggalakkan gaya hidup sihat, di samping mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan semangat kerjasama dalam kalangan ahli keluarga.