Berita dan Foto : Haji Jaafar
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 28 September. – Semangat persahabatan dan kerjasama serantau menyatukan sekumpulan 16 pendaki termasuk Negara Brunei Darussalam (NBD), Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Filipina mengadakan ekspedisi menawan Gunung Pulag, Republik Filipina baru-baru ini.
Delegasi NBD diketuai oleh Rizan Amit, manakala pasukan Malaysia diketuai oleh Captain Shariff Othman.
Ekspedisi berkenaan turut disertai pendaki dari Republik Indonesia dan Republik Filipina sebagai satu platform bagi mengeratkan hubungan persahabatan antara peserta dari empat negara.
Gunung Pulag yang mempunyai ketinggian sekitar 2,928 meter dari aras laut merupakan antara destinasi pendakian paling terkenal di Republik Filipina dan menjadi gunung tertinggi di Pulau Luzon yang terletak dalam rangkaian pergunungan Cordillera di utara Luzon.
Gunung ketiga tertinggi Republik Filipina berkenaan terkenal dengan keindahan alam semula jadinya, termasuk kawasan hutan pergunungan, hutan lumut dan kawasan padang rumput berhampiran puncak dengan tarikan utama pendakian yang menyaksikan fenomena 'sea of clouds'.
Menurut Rizan Amit, menyertai gabungan pendakian di gunung berkenaan merupakan pengalaman yang sangat berharga dan kami bangga membawa bendera NBD sehingga ke puncak gunung sepanjang lima jam pendakian.
Tambahnya, setiap peserta telah melengkapkan diri dengan bekalan stamina, persediaan fizikal dan mental serta kemampuan menyesuaikan diri dengan suhu dan keadaan persekitaran yang berbeza.
"Kejayaan pendakian ini menjadi satu pengalaman bermakna kepada para peserta dalam membina semangat setiakawan di samping mencerminkan bahawa aktiviti pendakian mampu menjadi wadah untuk mempertemukan masyarakat dari pelbagai negara melalui minat yang sama terhadap alam semula jadi dan aktiviti lasak", ujarnya lagi.
Rizan Amit mengetuai lapan peserta NBD termasuk empat pendaki wanita.