Futsal Fun Day satukan warga Sekolah PGGMB

26 Jul 2026 - 5:39am

Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei

LAMBAK, Sabtu, 25 Julai. - Sekolah Tunas Jaya (STJ) Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) Lambak, hari ini, menganjurkan Futsal Fun Day bertempat di Padang Sekolah Rendah Datu Mahawangsa Lambak.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti nyanyian lagu kebangsaan dan lagu sekolah. Acara diteruskan dengan perbarisan lalu pasukan-pasukan yang mengambil bahagian.

Guru Besar STJ PGGMB Lambak, Dayang Noraidah binti Abdullah dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa penganjuran Futsal Fun Day bertujuan untuk memupuk minat dan semangat murid-murid dalam sukan futsal, mencungkil bakat serta potensi mereka dalam bidang bola sepak, meningkatkan kemahiran komunikasi bersama rakan-rakan lain, di samping membudayakan bersukan bagi menjamin kesihatan berkekalan dari segi jasmani, fizikal, mental dan rohani murid-murid sekolah.

Sebanyak enam pasukan telah menyertai kejohanan tersebut, terdiri daripada STJ PGGMB Lambak, STJ PGGMB Madang, STJ PGGMB Kuala Belait, Sekolah PGGMB Sungai Akar serta sebuah sekolah dari Kementerian Pendidikan iaitu Sekolah Rendah Datu Mahawangsa Lambak.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan Futsal Fun Day tersebut ialah Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB, Guru-guru Besar Sekolah-sekolah PGGMB, para guru, ibu bapa serta murid-murid yang memberikan sokongan sepanjang kejohanan berlangsung. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pasukan-pasukan yang berjaya oleh tetamu kehormat dan guru-guru besar yang terlibat.

Sekolah PGGMB Sungai Akar muncul johan pada perlawanan tersebut manakala naib johan dimenangi oleh STJ PGGMB Madang diikuti tempat ketiga oleh STJ PGGMB Lambak dan tempat keempat dan kelima masing-masing diraih oleh Sekolah Rendah Datu Mahawangsa Lambak dan STJ PGGMB Kuala Belait.