DPMM FC tewaskan Penang FC 1 – 0

24 Og 2026 - 5:27am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Hernie Suliana Haji Othman, Tangkap Layar RTBgo

PULAU PINANG, Ahad, 23 Ogos. - Pasukan DPMM FC mencatat kemenangan penting selepas menewaskan Penang FC dengan keputusan 1-0 dalam aksi Perlawanan Liga Super Malaysia Musim 2026 / 2027 yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, hari ini.

Perlawanan berlangsung dalam suasana sengit apabila kedua-dua pasukan saling berusaha untuk mendapatkan kelebihan sejak wisel permulaan dibunyikan. DPMM FC terus menggandakan usaha membina serangan bagi mencari peluang untuk memecahkan kebuntuan.

Walau bagaimanapun, sepanjang babak pertama berlangsung, kedua-dua pasukan gagal menghasilkan sebarang jaringan meskipun beberapa percubaan berjaya dicipta. Kedudukan kekal 0-0 sehingga tamat 45 minit pertama.

Memasuki babak kedua, DPMM FC cuba meningkatkan tekanan dan terus mencari ruang di kawasan pertahanan Penang FC. Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-63 apabila Miguel Angelo Agostinho Oliveira berjaya menjaringkan gol pembukaan untuk memberikan DPMM FC kelebihan 1-0.

Jaringan berkenaan menyemarakkan lagi semangat DPMM FC yang kemudiannya berusaha mengekalkan kelebihan sehingga tamat perlawanan. Penang FC turut meningkatkan tekanan bagi mencari gol penyamaan, namun barisan pertahanan DPMM FC berjaya bertahan dengan baik untuk memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kemenangan tersebut amat bermakna buat DPMM FC apabila pasukan berjaya membawa pulang tiga mata penuh daripada perlawanan di gelanggang lawan. Selain menambah keyakinan pasukan, keputusan berkenaan turut memberikan suntikan semangat untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

Perlawanan seterusnya akan menyaksikan DPMM FC menentang Kuala Lumpur City FC yang dijadualkan berlangsung pada 29 Ogos 2026 bertempat di Stadium Bola Sepak Cheras.

Dengan momentum kemenangan yang diraih ke atas Penang FC, DPMM FC pastinya berharap dapat meneruskan rentak positif serta sekali lagi mempamerkan aksi terbaik bagi memburu keputusan yang membanggakan pada perlawanan akan datang.