Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Jumaat, 6 November. - Pasukan Daerah Brunei dan Muara (DBM) mencatat kemenangan besar apabila membenam pasukan Daerah Temburong dengan keputusan 19 - 0 dalam perlawanan bola sepak Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Ke-V, Tahun 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Berakas, petang tadi.
Mohd. Azhari Danial muncul sebagai penjaring terbanyak bagi pasukan DBM dengan menyumbangkan lapan gol, masing-masing pada minit ke-3, ke-12, ke-17, ke-18, ke-30, ke-50, ke-55 dan ke-75.
Sementara itu, Mohd. Akram Waqeel turut mempamerkan aksi cemerlang apabila menyumbang empat gol menerusi jaringan pada minit ke-4, ke-27, ke-43 dan ke-45.
Mohd. Hadiman pula menyumbangkan dua gol masing-masing pada minit ke-51 dan ke-73.
Lima lagi jaringan DBM disumbangkan oleh Mohd. Danish Syariee pada minit ke-5, Mohd. Arsyad Taqiuddin pada minit ke-68, Mohd. Danish Aiman dan Mohd. Syahmi Waie, masing-masing pada minit ke-78, serta Mohd, Irfan pada minit ke-85.
Sepanjang perlawanan berlangsung, pasukan Daerah Temburong gagal menemui sentuhan jaringan, sekali gus menyaksikan DBM mengekalkan gawang gol tanpa dibolosi sehingga wisel penamat.
Acara bola sepak berkenaan merupakan satu daripada 10 acara sukan yang dipertandingkan pada temasya SKBD kali ini.
Penganjuran temasya berkenaan diharap menjadi platform pertandingan kompetitif bagi memperkukuh semangat kesukanan dan perpaduan, selain mencungkil bakat atlet berpotensi untuk mewakili Negara Brunei Darussalam ke kejohanan peringkat serantau dan antarabangsa.
Temasya berkenaan turut menjadi wadah menghimpunkan atlet dari seluruh negara untuk bersaing dan menunjukkan kemampuan masing-masing dalam pelbagai acara sukan yang dipertandingkan.