Oleh : Khartini Hamir
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Ihsan Singapore Association
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 6 November. – Seramai 30 pelajar dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) menyertai Klinik Bola Sepak Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama legenda bola sepak Republik Singapura, Fandi Ahmad, yang berlangsung di padang bola sepak, Peak Club pagi tadi.
Program yang dianjurkan oleh Singapore Association (SA) di Negara Brunei Darussalam (NBD) dengan sokongan Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura di NBD berkenaan bertujuan untuk memberi inspirasi kepada golongan belia menerusi sukan bola sepak, menggalakkan keterangkuman dan semangat kesukanan, di samping memberi peluang kepada persatuan berkenaan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat setempat serta memperkukuh hubungan persahabatan dan silaturahim antara rakyat Republik Singapura dan NBD yang telah terjalin sekian lama.
Singapore Airlines (SIA), selaku penaja rasmi syarikat penerbangan bagi program berkenaan, turut melaksanakan aktiviti CSR tersendiri bersama Pusat Ehsan.
Fandi, yang merupakan bekas kapten pasukan kebangsaan Republik Singapura, mencipta sejarah sebagai pemain bola sepak pertama dari Republik Singapura yang beraksi secara profesional di Eropah apabila mewakili FC Groningen di Belanda.
Dalam temu bual bersama Pelita Brunei, Fandi Ahmad berasa sangat gembira berpeluang menjadi sebahagian daripada program berkenaan bersama-sama dengan pasukan dan komiti dari Brazilian Football Academy (BFA Brunei) yang turut membantu menjayakan klinik berkenaan yang melibatkan beberapa pelajar dan individu berkeperluan khas dari Pusat Ehsan.
“Kami sangat gembira dapat berada di sini, dan saya juga membawa beberapa orang jurulatih dari Republik Singapura, dan sudah semestinya, kami juga turut dibantu oleh pihak Brunei dari Brazilian Academy kerana terdapat begitu ramai pelajar yang menyertai aktiviti ini.
“Saya lihat mereka sangat teruja, tetapi kami tidak boleh memaksa mereka melakukan latihan terlalu berat kerana mengambil kira kemampuan fizikal mereka.
“Kami bimbang sekiranya berlaku kecederaan. Jadi, kami hanya menjalankan latihan asas yang ringan. Apa yang paling penting, kami mahu mereka menikmati sesi latihan ini bersama rakan-rakan, keluarga dan terutamanya ibu bapa mereka,” ujarnya lagi.
Fandi Ahmad turut berasa gembira kerana kanak-kanak berkenaan dapat dikawal dengan baik oleh para petugas. Mereka tidak berlari ke sana sini seperti kebiasaannya.
Beliau juga agak terkejut kerana mereka begitu berdisiplin dan mendengar arahan. Perkara berkenaan berlaku kerana pihaknya telah menyediakan program yang tersusun dengan membahagikan mereka kepada beberapa kumpulan, iaitu Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3.
Setiap kumpulan katanya lagi, ditempatkan di kawasan masing-masing supaya mereka kekal di tempat yang telah ditetapkan, dan bagi sesi latihan berkenaan, mereka telah dibahagikan kepada beberapa sektor kumpulan masing-masing.
Fandi Ahmad seterusnya berkata, para pelajar juga kelihatan sangat menikmati dan selesa menyertai aktiviti berkenaan, serta turut menzahirkan penghargaan kepada komuniti yang telah membawa mereka ke sini, semua pihak yang terlibat serta para penaja yang telah membantu anak-anak berkenaan untuk turut serta dalam aktiviti tersebut.
Klinik berkenaan merupakan sebahagian daripada program tiga hari Singapore Association x Fandi Ahmad Football Clinic 2026, yang merangkumi klinik bola sepak belia pada Sabtu ini, Program CSR di Daerah Temburong pada Ahad dengan kerjasama Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), yang melibatkan pelajar dari Sekolah Rendah Rataie dan Sekolah Sukan, serta sesi ramah mesra bersama Fandi Ahmad pada petang Ahad.
Turut hadir pada acara berkenaan, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi dan Menteri Kaunselor, Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura ke NBD, Mr. Guo Weimin; dan Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin.