Atlet negara pamerkan semangat juang yang tinggi

30 Jul 2026 - 9:21am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Ihsan Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 Ke-23 

 

GLASGOW, SCOTLAND, Rabu, 29 Julai. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Brunei Darussalam (BDNOC), telah berkenan berangkat ke Tollcross International Swimming Centre bagi menyaksikan acara renang di temasya Sukan Komanwel Ke-23.

Pada acara tersebut, Hayley Wong dan Dayang Sharmeen binti Mohammad Marvin beraksi dalam acara Women's 50m Freestyle, manakala Joel Ling Thai Yu menyertai acara Men's 100m Backstroke. Meskipun tidak mara ke peringkat seterusnya dan tidak berjaya memperbaiki rekod peribadi mereka, ketiga-tiga atlet mempamerkan semangat juang yang tinggi, disiplin serta komitmen yang cemerlang.

Selesai sahaja perlawanan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan menyampaikan penghargaan atas komitmen, disiplin dan semangat juang yang dipamerkan sepanjang temasya ini dan berkeyakinan bahawa pengalaman yang diraih ini akan menjadi pemangkin untuk terus mempertingkatkan prestasi mereka.

Di samping itu, Duli Yang Teramat Mulia juga turut bersabda agar atlet terus berlatih dengan tekun dan berusaha mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dan terus mengekalkan iltizam, fokus dan komitmen yang tinggi dalam setiap sesi latihan sebagai persediaan kejohanan akan datang.

Dengan berakhirnya acara pada hari ini, tamatlah penyertaan ketiga-tiga atlet renang Negara Brunei Darussalam di Sukan Komanwel Ke-23. Walaupun tidak berjaya melangkah lebih jauh, mereka telah memberikan saingan yang membanggakan serta memperoleh pengalaman berharga kerana berpeluang bertanding dengan atlet-atlet elit antarabangsa.

Secara keseluruhannya, penyertaan atlet daripada sukan Olahraga, Renang dan Angkat Berat di Sukan Komanwel Ke-23 telah memberi pendedahan yang amat bernilai dalam meningkatkan keyakinan, kematangan dan kesiapsiagaan mereka sebagai persediaan menghadapi kejohanan antarabangsa pada masa hadapan bagi mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam.