Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Isnin, 12 Oktober. - Seramai lima orang atlet negara telah menerima Ganjaran Kemenangan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan (SPKS) sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlang mereka dalam Sukan Para ASEAN Ke-13 yang berlangsung di Thailand pada 20 hingga 26 Januari 2026.
Majlis Penyerahan Ganjaran Kemenangan SPKS berkenaan diadakan di Bilik Simpur, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, selaku tetamu kehormat majlis.
Sebelum penyampaian ganjaran, para jemputan menyaksikan tayangan video imbas kembali penyertaan dan pencapaian Kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam Sukan Para ASEAN Ke-13, Thailand 2026.
Ganjaran Kemenangan SPKS diberikan sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlang atlet-atlet negara dalam sukan Para Athletics dan Para Tenpin Bowling pada Sukan Para ASEAN Ke-13, Thailand 2026.
Kontinjen negara berjaya meraih sebanyak enam pingat, terdiri daripada satu pingat emas, tiga pingat perak dan dua pingat gangsa.
Bagi sukan Para Athletics, Nor Hensan binti Awang Haji Mataha menerima BND3,000 selepas meraih pingat perak dalam acara Women Shot Put F11, manakala Haji Mohd. Rudy Izman bin Haji Badar menerima BND3,000 bagi pingat perak acara Men's Shot Put F53.
Alihan Muda pula menerima BND2,000 selepas memenangi pingat gangsa dalam acara Men's Javelin F34.
Jurulatih Para Athletics, Lim Chee Wee menerima BND1,600, manakala penolong jurulatih, Abdul Azim bin Haji Abu Bakar menerima BND400.
Dalam sukan Para Tenpin Bowling, Kamarul Ariffin bin Haji Abd. Ghaffar menerima BND5,000 bagi pingat emas acara TPB2 Single dan BND1,500 bagi pingat perak acara TPB2 + TPB2 Double.
Saidin bin Awang Haji Damit menerima BND2,000 bagi pingat gangsa acara TPB2 Single dan BND1,500 bagi pingat perak acara TPB2 + TPB2 Double.
Jurulatih Para Tenpin Bowling, Pengiran Saiful Rizal bin Pengiran Haji Yunus menerima BND2,000.
Sementara itu, Majlis Paralimpik Kebangsaan Brunei Darussalam menerima BND1,600 bagi sukan Para Athletics dan BND2,000 bagi sukan Para Tenpin Bowling, menjadikan jumlah keseluruhan ganjaran SPKS yang disampaikan sebanyak BND25,600.
Pemberian Ganjaran Kemenangan SPKS merupakan manifestasi komitmen berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memberikan pengiktirafan dan penghargaan terhadap pencapaian, usaha serta pengorbanan atlet negara, jurulatih dan Persatuan Sukan Kebangsaan dalam mengharumkan nama negara di persada serantau dan antarabangsa.
Skim berkenaan juga berperanan sebagai pemangkin dalam memberikan motivasi kepada atlet negara untuk terus meningkatkan prestasi dan mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi, selaras dengan aspirasi pembangunan sukan negara dan Dasar Sukan Negara.
Pencapaian atlet para negara di Sukan Para ASEAN Ke-13 turut mencerminkan keupayaan, disiplin dan semangat juang atlet dalam membawa cabaran NBD, di samping menjadi inspirasi kepada masyarakat khususnya dalam memperkukuh pembangunan sukan yang inklusif dan berprestasi tinggi.