2 pelari NBD serlah semangat juang di pentas Asia

5 Okt 2026 - 2:05am

Berita dan Foto : Ihsan Zainal Azim Hza

REPUBLIK SOSIALIS VIET NAM, Ahad, 4 Oktober. - Dua trail runner Negara Brunei Darussalam (NBD), iaitu Zainal Azim Haji Zainal Abidin dan Mohd. Afi Azizi Haji Awang Bakir, telah berjaya menamatkan perlumbaan sejauh 75 kilometer (km) pada Mu Cang Chai Ultra Trail 2026 yang mencabar, peringkat akhir Asia Trail Master (ATM) Season 11, yang berlangsung di Mu Cang Chai, Republik Sosialis Viet Nam.

Perlumbaan berkenaan melibatkan pendakian keseluruhan kira-kira 3,800 meter serta menghimpunkan antara trail runner dan atlet elit terhandal dari seluruh Asia.

Berdepan laluan pergunungan yang mencabar, kedua-dua trail runner NBD mempamerkan kecekalan, ketahanan dan semangat juang yang tinggi untuk menamatkan cabaran terakhir dalam kempen mereka di ATM.

Penyertaan mereka merupakan hasil perjalanan sepanjang musim dengan mengumpul mata berharga menerusi penyertaan dalam beberapa perlumbaan ATM sepanjang tahun, sekali gus melayakkan mereka beraksi dalam peringkat akhir Season 11 yang berprestij berkenaan.

Kejayaan menamatkan perlumbaan berkenaan bukan sahaja merupakan pencapaian dari segi fizikal, malah menjadi kemuncak kepada latihan, penyertaan dalam perlumbaan serta ketekunan yang dilalui selama berbulan-bulan.

Perjalanan kedua-dua trail runner berkenaan turut memperlihatkan perkembangan positif sukan trail runner di NBD, selain membuktikan keupayaan atlet tempatan untuk bersaing bersama-sama antara pelari ketahanan terbaik di Asia.