Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Ahad, 8 November. – Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Ke-V, Tahun 2026 membuka tirai secara rasminya hari ini dengan menghimpunkan seramai 1,382 atlet, pegawai dan jurulatih daripada tujuh kontinjen yang mengambil bahagian.
Majlis Pembukaan Rasmi disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.
Majlis dimulakan dengan perbarisan lalu Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang diketuai oleh Pemangku Pengarah Muzik, Pancaragam PPDB, Inspektor Kanan Pengiran Mohammad Alizan bin Pengiran Haji Aliuddin.
Diikuti dengan Pembawa Bendera Negara dan Bendera SKBD seramai 22 orang yang terdiri daripada Pasukan Kadet Polis Diraja Brunei, Pasukan Kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, alumni Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) serta kumpulan penyanyi dan penari Tahun Melawat Brunei 2027 (VBY 2027).
Majlis diteruskan dengan perbarisan lalu atlet legenda yang terdiri daripada olahragawan dan olahragawati yang pernah mengharumkan nama negara menerusi pencapaian cemerlang serta kejayaan dalam arena sukan, pasukan Atlet Masa Hadapan (Future Athletes) yang diwakili oleh seramai 65 atlet muda berbakat dan berpotensi tinggi melalui program pencarian bakat di peringkat akar umbi, serta pegawai teknikal sukan yang diwakili seramai 407 pegawai.
Ini diikuti dengan perbarisan lalu daripada kontinjen-kontinjen yang bertanding, iaitu Kontinjen Daerah Brunei dan Muara diketuai oleh Awang Mohammad Abdul Hadi bin Haji Mohd. Syarifuddin (234 atlet dan pegawai); Kontinjen Daerah Belait diketuai oleh Pengiran Kamal Ariffin bin Pengiran Haji Md. Yassin (250 atlet dan pegawai); Kontinjen Daerah Tutong diketuai oleh Awang Mohammad Adi Asnawi bin Haji Awang Adanan (231 atlet dan pegawai) dan Kontinjen Daerah Temburong diketuai oleh Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Suhaili (170 atlet dan pegawai).
Turut mengambil bahagian dalam perbarisan lalu ialah Kontinjen Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) diketuai oleh 801 Komander Awang Haji Mohammad Arnold bin Haji Osman (234 atlet dan pegawai); Kontinjen Majlis Sukan PPDB (MS PPDB) diketuai oleh Penguasa Kanan Polis Awang Haji Mohammad Noor bin Haji Abdul Rahman (104 atlet dan pegawai); dan Kontinjen Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MS SSBD) diketuai oleh Awang Julaihi bin Mohamad/Mohamat (159 atlet dan pegawai).
Majlis disusuli dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Allah Peliharakan Sultan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Tetap, KKBS, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja SKBD Ke-V, Tahun 2026.
Dalam ucapannya, Setiausaha Tetap, KKBS berkata, setelah lapan tahun tidak dianjurkan, SKBD kembali lagi pada tahun ini dengan mengangkat tema 'Bersama Mengejar Kegemilangan'.
Jelasnya lagi, tema berkenaan dipilih selaras dengan dua fokus utama dalam Dasar Sukan Negara Brunei Darussalam, iaitu Sukan Untuk Masyarakat (SUM) dan Sukan Prestasi Tinggi (SPT).
Menurut Awang Aliuddin, SUM memberi tumpuan kepada penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan dan rekreasi bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif, selain menjadikan sukan sebagai wadah untuk mengeratkan hubungan dan mengukuhkan perpaduan antara masyarakat.
Manakala fokus SPT pula katanya lagi, menjadikan SKBD sebagai platform untuk mengenal pasti dan membangun bakat atlet yang berpotensi untuk mewakili Negara Brunei Darussalam (NBD) ke kejohanan-kejohanan di peringkat serantau dan antarabangsa.
"Bagi meneruskan usaha ini, insyaaAllah, KKBS akan menjadikan SKBD sebagai kejohanan sukan dwitahunan (yang akan dianjurkan setiap 2 tahun). Melalui kejohanan ini, ia diharap dapat mengukuhkan lagi persiapan para atlet negara untuk bersaing ke kejohanan-kejohanan yang lebih tinggi," ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru para atlet agar bertanding dengan penuh semangat juang dan berikan yang terbaik dengan sentiasa berpegang teguh dan mengamalkan nilai-nilai kesukanan, menghormati pihak lawan serta mematuhi peraturan kejohanan dengan penuh disiplin dan integriti.
Awang Aliuddin juga berharap agar para atlet memanfaatkan kejohanan berkenaan sebagai platform untuk pendedahan, menimba pengalaman, menguji keupayaan di samping untuk mengeratkan persahabatan dan memperkukuh perpaduan dalam sama-sama mengejar kegemilangan dalam bidang sukan.
Acara diteruskan dengan pengisytiharan Pembukaan Rasmi kejohanan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis dilanjutkan dengan bacaan Ikrar Sukan yang dipimpin oleh 55853 Laskar Awang Mohd. Ali Saifullah bin Abdullah Mohammad Suhaimi, atlet sukan pencak silat daripada Kontinjen MS ABDB dan Ikrar Teknikal Sukan yang diketuai oleh Ahli Eksekutif Persatuan Renang Brunei Darussalam, Awang Harjimmey bin Haji Zainal, selaku Ketua Pegawai Teknikal.
Majlis turut menyaksikan persembahan lagu-lagu empat daerah oleh empat artis tempatan NBD, diteruskan dengan persembahan khas yang membawa aspirasi dan imej negara ke persada antarabangsa menerusi lagu tema VBY 2027, 'The Abode of Peace' serta lagu tema SKBD bertajuk 'Bersama Mengejar Kegemilangan'.
Kejohanan SKBD edisi kali ini mempertandingkan sebanyak 10 acara sukan, iaitu akuatik, badminton, bola jaring, bola sepak, futsal, karate, olahraga, pencak silat, sepak takraw dan tarik kalat dengan jumlah terkini penglibatan atlet seramai 1,077 orang.
SKBD merupakan kejohanan peringkat kebangsaan yang bertujuan untuk membina serta memajukan tahap dan prestasi ahli-ahli sukan di NBD secara berkontinjen. Ia juga diharap dapat membentuk golongan ahli sukan yang berwibawa, membina semangat persaingan yang sihat dan mesra serta memupuk kerjasama dalam pembangunan sukan dan perkembangan bakat atlet ke arah kecemerlangan sukan negara.
Antara tujuan utama SKBD diadakan adalah untuk mewujudkan hubungan kerjasama yang akrab dalam membina pembangunan insan ke arah pembangunan sejagat di samping membina rangkaian keharmonian melalui satu gagasan sukan bagi menjana evolusi baharu dalam usaha membentuk sebuah negara yang harmoni dan bersatu.
SKBD juga menjadi salah satu platform utama untuk memilih ahli sukan yang berkelayakan bagi mewakili negara di peringkat serantau dan antarabangsa.
Sukan merupakan wadah penting yang bukan sahaja membudayakan gaya hidup sihat, malah selaras dengan usaha kerajaan dalam memastikan rakyat sentiasa sihat, produktif, berdisiplin dan berdikari yang menjadi teras kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara menuju masa hadapan.
Maklumat lanjut mengenai SKBD Ke-V, Tahun 2026 boleh didapati melalui pautan laman sesawang rasmi https://www.belia-sukan.gov.bn/skbd/ atau akaun Instagram rasmi @officialskbd.bn.