1,000 peserta sertai Half Marathon

5 Okt 2026 - 2:01am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

BERAKAS, Ahad, 4 Oktober. - Boustead Sdn. Bhd. meraikan 70 tahun perkhidmatan kepada Negara Brunei Darussalam (NBD) menerusi Boustead 70th Anniversary Half Marathon, yang menghimpunkan para pelanggan, kakitangan, pelari tempatan serta peserta antarabangsa dari beberapa buah negara.

Seramai 1,000 orang telah menyertai acara tersebut berlangsung di Stadium Hassanal Bolkiah, pagi tadi. Hadir dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Perunding Pengurusan Perniagaan Boustead, Lim Jin Yee.

Acara dimulakan dengan sesi pemanasan badan beramai-ramai sebelum acara pelepasan bagi Kategori Half Marathon, diikuti dengan Kategori 10 kilometer (km), 5km dan 3km Fun Run. Pelepasan berkenaan bermula dan berakhir di Kawasan Stadium Negara, Hassanal Bolkiah, Berakas.

Bagi Kategori Half Marathon Terbuka Lelaki, Dennis Isika meraih tempat pertama, sementara bagi Kategori Terbuka Wanita pula dimenangi oleh Jackline Nzivo.

Dalam Kategori Terbuka Lelaki dan Wanita 10km pula, Arif Zulkifli dan Sandra Wong raih tempat pertama. Sementara Kategori Terbuka Lelaki dan Wanita 5km, tempat pertama masing-masing disandang oleh Kasyful Asymawi dan Linda Chin Hui Ching.

Penganjuran acara berkenaan bukan sekadar memperingati Ulang Tahun Boustead Ke-70 malah menjadi wadah bagi syarikat menzahirkan penghargaan kepada para pelanggan dan masyarakat umum atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan sepanjang tujuh dekad.

Dengan menggabungkan elemen kecergasan dan kemasyarakatan, separuh maraton itu turut menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat.

Kehadiran pelari dari dalam dan luar negara pula menyemarakkan lagi suasana, menjadikan acara berkenaan sebagai satu perayaan yang menyatukan masyarakat menerusi semangat kesukanan, ketahanan dan persahabatan merentasi sempadan.