DALAM arus kemajuan dan perubahan zaman ini, masih ada dalam kalangan masyarakat kita yang mempercayai dan mengamalkan sihir. Walaupun dunia bergerak ke hadapan dengan ilmu dan teknologi, ada segelintir golongan yang masih terperangkap dalam kepercayaan karut yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Sihir yang sepatutnya ditolak dan dijauhi, telah dijadikan sebagai jalan pintas untuk memenuhi hasrat duniawi hingga sanggup membelakangkan dosa dan pahala, bahkan tidak lagi mempedulikan batas halal dan haram. Antara punca utama seseorang terjerumus dalam amalan sihir ialah apabila berdepan dengan pelbagai tekanan seperti kesempitan hidup, masalah rumah tangga atau persaingan dalam kerjaya dan perniagaan untuk mencari penyelesaian.
Lebih menyedihkan lagi, ada segelintir manusia yang sanggup menggunakan khidmat bomoh untuk melakukan amalan sihir atau ilmu hitam kerana hasad dengki, cemburu, sakit hati serta tamak terhadap harta dan kuasa. Perbuatan tersebut dilakukan tanpa mempedulikan pertalian darah, ikatan kekeluargaan atau persahabatan yang telah terjalin. Apabila hati telah dikuasai oleh hawa nafsu dan dendam, manusia hilang pertimbangan sehingga tasurung atau tergamak menyakiti insan lain tanpa sedikit pun rasa bersalah.
Akibatnya, berlaku pelbagai musibah seperti penyakit misteri yang sukar dijelaskan secara perubatan moden, keruntuhan rumah tangga, permusuhan antara adik-beradik dan saudara-mara, malah ada yang berakhir dengan kehilangan nyawa.
Dalam menghadapi ancaman sihir dan gangguan makhluk halus, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mengajarkan kepada umatnya beberapa amalan pelindung yang dapat menjaga diri dan keluarga daripada gangguan syaitan serta bahaya sihir. Antara amalan pelindung yang diajarkan Baginda ialah membaca Ayat Kursi sebelum tidur. Ini adalah amalan ringkas tetapi sangat besar kelebihannya dalam memelihara dan menjaga diri sepanjang malam.
Di samping itu, membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas iaitu surah-surah perlindungan untuk diamalkan pada setiap pagi dan petang sebagai benteng diri yang bukan sahaja melindungi daripada sihir tetapi juga daripada apa jua musibah yang tidak kelihatan oleh mata kasar. Selain itu, mengamalkan zikir sebagai pelindung diri. Zikir merupakan perisai hati dan jiwa. Ia adalah benteng yang mampu melindungi daripada sihir, racun dan musibah yang tidak disangka-sangka.
Sebagai umat Islam, kita hendaklah sentiasa menyedari bahawa sihir bukanlah jalan penyesalan tetapi ia adalah jalan yang menghancurkan iman dan merosakkan akidah. Jangan kerana ingin mencari jalan pintas, kita sanggup mempertaruhkan akhirat yang kekal abadi. - Ketua Penyuntingan (Ad)