Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
TEMBURONG, Selasa, 25 Ogos. - Lebih 1,215 orang terdiri daripada para penghulu mukim, ketua-ketua kampung, jemputan-jemputan khas, ahli jawatankuasa kerja, takmir dan jemaah masjid serta pasukan-pasukan perarakan menyertai Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Daerah Temburong Bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang diadakan bertempat di kawasan letak kereta Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Mukim Bangar, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Turut hadir, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar; dan Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, juga Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau, Daerah Temburong.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Pelajar Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR) Tahun 2, Sekolah Ugama Senukoh, Daerah Temburong, Awang Mohd. Rizq Syauqi bin Abdullah.
Majlis diteruskan dengan Tazkirah Khas yang disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Mohammad Nasyith bin Superi, diikuti dengan persembahan Dikir Marhaban dan bacaan Sayyidul Istighfar yang dibawakan oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Piasau-Piasau Daerah Temburong.
Bacaan Doa Selamat dan laungan Selawat sebanyak tiga kali dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Awang Muhammad Syahmi bin Haji Zaini.
Majlis kemudian diteruskan dengan perarakan sejauh 1.6 kilometer mengelilingi Pekan Bangar yang didahului oleh tetamu kehormat majlis dan ahli-ahli jawatankuasa sambutan, diikuti pasukan-pasukan lain yang mengambil bahagian.
Di samping bagi memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta meningkatkan kecintaan terhadap Baginda, majlis sambutan berkenaan juga dianjurkan bagi memeriahkan suasana dengan perarakan yang penuh berkat, bertujuan untuk memakmurkan jalan-jalan di sekitar kawasan dan menghidupkan syiar Islam.
Perarakan berkenaan juga menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim antara umat Islam, dengan para peserta daripada seluruh lapisan masyarakat, jemaah masjid, dan penduduk kampung di Daerah Temburong.
Majlis yang penuh kerahmatan berkenaan diharap dapat memperoleh syafaat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pada Hari Kiamat kelak selain menjadi wadah memperkukuh ukhuwah Islamiah dalam kalangan masyarakat setempat.