Usaha mewujudkan asas ekonomi lebih kukuh, seimbang

27 Okt 2026 - 7:12am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. IbrahimFoto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

GADONG, Isnin, 26 Oktober. - Antara tahun 2015 hingga 2025, ekonomi Negara Brunei Darussalam (NBD) berkembang pada kadar purata tahunan kira-kira 0.7 peratus, manakala sektor bukan minyak dan gas mencatatkan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 2.7 peratus. Dalam tempoh yang sama, sumbangan sektor tersebut kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat daripada 46 peratus kepada 54 peratus, manakala bahagiannya daripada jumlah eksport meningkat daripada 7 peratus kepada 60 peratus.

Perkembangan ini mencerminkan kemajuan dalam usaha mempelbagaikan ekonomi negara. Walau bagaimanapun, usaha ini masih belum mencukupi. Masih banyak yang perlu dilakukan. Kita perlu memperkukuh produktiviti, inovasi serta daya saing rakyat dan perniagaan kita.

Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin berucap sedemikian semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Perniagaan Brunei (Brunei Business Conference) 2026 bertempat di Rizqun International Hotel, hari ini.

Terdahulu, Yang Berhormat berkata, tema persidangan ini, 'Ekonomi Brunei Seterusnya : Pertumbuhan dan Pemacu Baharu Peluang', amat bertepatan pada masanya.

Ketika ekonomi global mengharungi ketidaktentuan geopolitik, perubahan corak perdagangan, kemajuan teknologi yang pesat serta peralihan ke arah kelestarian, NBD perlu meletakkan dirinya pada kedudukan yang membolehkannya menyesuaikan diri, kekal berdaya saing dan merebut peluang-peluang baharu yang muncul. Hasrat ini merupakan teras Wawasan Brunei 2035 dan matlamat kita untuk membina sebuah ekonomi yang dinamik dan mampan.

"Apa yang penting, kepelbagaian ekonomi tidak bermakna kita perlu meninggalkan kekuatan sedia ada. Sebaliknya, ia bermaksud membina berasaskan kekuatan tersebut sambil membangunkan industri dan keupayaan baharu bagi mewujudkan asas ekonomi yang lebih kukuh dan seimbang.

"Kedudukan strategik NBD di Pulau Borneo, persekitaran perniagaan yang stabil, keupayaan perindustrian yang telah sedia ada serta akses kepada pasaran serantau menyediakan asas yang kukuh untuk pelaburan dan kerjasama perniagaan," ujar Yang Berhormat.

Bagi sektor-sektor keutamaan negara, kongsi Yang Berhormat, kita memberi tumpuan yang lebih besar kepada sektor-sektor yang dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan dan kepelbagaian ekonomi NBD. Antaranya, Industri hiliran minyak dan gas; Pertanian, makanan dan perikanan mampan; Pelancongan; Telekomunikasi; Media digital dan kreatif; Pengangkutan dan Logistik dan Pembuatan, termasuk pembuatan termaju.

Jelas Yang Berhormat, sektor-sektor ini menawarkan peluang untuk membangunkan industri bernilai tambah tinggi, memperkukuh pengeluaran domestik, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran serta meningkatkan eksport.

Merentasi semua sektor ini, tambah Yang Berhormat, tumpuan kita mestilah untuk merealisasikan peluang dan pelaburan kepada aktiviti yang berdaya maju dari segi komersial, perusahaan tempatan yang lebih kukuh, peluang pekerjaan yang bermakna serta pertumbuhan ekonomi yang berterusan.

Dalam sektor makanan, terang Yang Berhormat, kita juga sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama mengenai cadangan Zon Makanan Agroteknologi Brunei-Singapura. Apabila dilaksanakan kelak, projek ini berpotensi menarik pelaburan bernilai tambah tinggi dalam sektor agromakanan, mewujudkan peluang kepada perniagaan tempatan serta menyumbang kepada pengukuhan keselamatan makanan negara.

"Selain itu, dalam sektor pertanian, kita perlu melihat lebih jauh daripada sekadar jumlah pengeluaran dan daya saing harga, dengan memberikan penekanan yang lebih besar terhadap keselamatan makanan, kualiti produk, kemampanan dan pembezaan produk.

"Sehubungan dengan ekonomi hijau, NBD sedang menggalakkan pertanian regeneratif sebagai sebahagian daripada usaha kita untuk meningkatkan kualiti produk makanan dan pada masa yang sama memelihara alam sekitar melalui penambahbaikan keadaan tanah serta menggalakkan penggunaan agen kawalan biologi. Pendekatan ini sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan bahan kimia dalam pertanian," jelas Yang Berhormat lagi.

Terang Yang Berhormat, usaha-usaha ini melengkapi inisiatif seperti pensijilanBrunei Pesticide Free, yang dapat membuka lebih banyak peluang untuk membezakan produk pertanian Brunei daripada produk lain serta menembusi pasaran eksport bernilai tambah tinggi.

Dalam menghadapi gangguan terhadap rantaian bekalan global, Yang Berhormat menggalakkan para pelabur untuk meneroka peluang di sepanjang keseluruhan rantaian nilai agromakanan, bermula daripada input huluan dan pengeluaran primer hinggalah kepada pemprosesan, pembungkusan, logistik dan akses pasaran.