Peranan sektor swasta dalam mempelbagaikan ekonomi NBD

27 Okt 2026 - 7:15am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. IbrahimFoto : Mohammad Hatral Hazmi Awang

GADONG, Isnin, 26 Oktober. - Persidangan Perniagaan Brunei (Brunei Business Conference) 2026 menghimpunkan lebih 400 wakil kanan daripada pihak kerajaan, sektor industri dan rantau yang lebih luas di Rizqun International Hotel, hari ini, bagi meneliti sektor-sektor dan kerjasama strategik yang akan membentuk hala tuju ekonomi Negara Brunei Darussalam (NBD) pada masa hadapan, melangkaui ekonomi tradisional yang berteraskan tenaga.

Dengan membawakan tema, 'Brunei's Next Economy : Growth and New Engines of Opportunity', persidangan ini membincangkan bagaimana sektor kewangan, industri, transformasi digital, pendidikan, penjagaan kesihatan, pelancongan dan pelaburan serantau dapat menyumbang kepada pembentukan ekonomi yang lebih pelbagai dan berdaya saing.

Persidangan tersebut dianjurkan oleh ASEAN Business Advisory Council (ASEAN-BAC) NBD dan APEC Business Advisory Council (ABAC) NBD di bawah Brunei Economy Programme, dengan kerjasama Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri serta Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (UN ESCAP).

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan ucaptama pembukaan ialah Menteri Penyelaras bagi Dasar - Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, juga selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei.

Persidangan berkenaan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi ASEAN-BAC Brunei Darussalam, Awang Haji Musa bin Haji Adinin, merangkap Pengarah Urusan Adinin Group of Companies dan Pengerusi ABAC NBD, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim selaku Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank Brunei.

Dalam ucapan masing-masing, mereka menekankan peranan sektor swasta dalam mempelbagaikan ekonomi NBD serta kepentingan kerjasama erat antara sektor perniagaan dengan kerajaan dalam mengenal pasti sumber pertumbuhan baharu.

Seterusnya, Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan tinjauan ekonomi serantau. Beliau membincangkan kesan ketegangan geopolitik, ketidaktentuan harga tenaga, inflasi dan perubahan corak perdagangan terhadap ASEAN, menghuraikan kedudukan strategik Malaysia serta mengenal pasti prospek untuk mempererat kerjasama ekonomi dengan Negara Brunei Darussalam.

Sesi pagi Persidangan Perniagaan Brunei membincangkan potensi Borneo sebagai destinasi pelaburan bersepadu. Pegawai Hal Ehwal Ekonomi di UN ESCAP, Dr. Heather Lynne Taylor-Strauss telah membentangkan inisiatif Invest Borneo yang dibiayai oleh Bank Pembangunan Islam.

Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh keupayaan agensi promosi pelaburan di NBD, Indonesia dan Malaysia dalam menarik pelaburan langsung asing yang berkualiti tinggi dan mampan.

Pembentangan mengenai keutamaan pelaburan di peringkat nasional dan subnasional telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Promosi Pelaburan Indonesia (IIPC) di Republik Singapura, Irma Rachmiyati; Pengarah Pembiayaan di Pihak Berkuasa Ibu Kota Nusantara, Muhammad Naufal Aminuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Berhad, Kevin George Ukang dan Pengurus Pelaburan di Invest Sarawak, Bede Hong, yang menyertai sesi tersebut secara dalam talian.

Satu sesi perbincangan panel bertajuk 'Invest Borneo : Daripada Kerjasama kepada Perkongsian Pelaburan' turut diadakan. Perbincangan tersebut meneliti bagaimana NBD, Kalimantan, Sabah dan Sarawak dapat bekerjasama untuk menarik pelaburan, serta peranan tenaga, infrastruktur dan kesalinghubungan dalam membangunkan koridor pertumbuhan baharu.

Panel tersebut terdiri daripada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei, Daniel Leong; Naib Presiden Hal Ehwal Antarabangsa di Indonesian Business Council, Thomas Noto Suoneto; Kevin George Ukang; Irma Rachmiyati dan Dr. Heather Lynne Taylor-Strauss.

Sesi perbincangan itu dikendalikan oleh Penasihat Eksekutif The Southeast Asian Futures Initiative Centre (SEAFIC) dan Pengasas aseanx, Jukhee Hong.

Persidangan Perniagaan Brunei adalah termasuk di dalam Program Ekonomi Brunei di mana Program Ekonomi Brunei merupakan siri penglibatan perniagaan tahunan yang dianjurkan oleh ASEAN-BAC NBD dan ABAC NBD, dengan kerjasama Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri.

Program ini berperanan sebagai platform yang menghubungkan komuniti perniagaan, pihak kerajaan dan rakan kongsi antarabangsa dalam membincangkan keutamaan ekonomi NBD, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.